SAUDARA PENGARANG,
PEMBAHAGIAN jawatan di sekolah memainkan peranan penting dalam pembangunan diri pelajar. Jawatan seperti ketua kelas, pengawas dan ketua persatuan adalah peluang untuk pelajar mengasah kemahiran kepimpinan dan tanggungjawab. Namun, seringkali kita melihat ketidakadilan dalam pembahagian jawatan ini, dengan sesetengah pelajar memegang beberapa jawatan manakala pelajar lain langsung tidak diberi peluang.
Situasi ini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati tetapi juga boleh menghalang potensi pelajar lain daripada berkembang.
Pelajar yang tidak diberi peluang untuk memegang jawatan mungkin merasakan diri mereka kurang dihargai dan tidak berpotensi. Hal ini boleh menjejaskan motivasi dan semangat mereka dalam aktiviti kokurikulum serta akademik. Penting memastikan setiap pelajar mempunyai peluang yang sama rata untuk memegang jawatan bagi mengelakkan ketidakpuasan hati.
Sementara memegang terlalu banyak jawatan boleh memberi tekanan kepada pelajar. Ini kerana mereka mungkin tidak mampu untuk menguruskan masa dengan baik antara tanggungjawab jawatan dan pelajaran. Akibatnya, prestasi akademik merosot. Dengan mengagihkan jawatan secara saksama, beban kerja boleh dikurangkan dan pelajar boleh memberi lebih fokus terhadap pelajaran.
Pembahagian jawatan yang adil dapat mengembangkan kemahiran pelajar secara lebih menyeluruh sekali gus mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerjasama. Ini akan membantu membina keyakinan diri dan menyediakan persiapan untuk cabaran masa depan.
Justeru, guru dan pentadbir sekolah perlu bersikap adil dan telus dalam proses pemilihan jawatan. Mereka perlu mengadakan sesi temuduga dan penilaian yang objektif bagi memastikan setiap pelajar mempunyai peluang berdasarkan merit dan kebolehan.
Kesimpulannya, pembahagian jawatan yang saksama akan membawa manfaat kepada keseluruhan komuniti sekolah. Ia akan mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan inklusif dengan setiap pelajar merasa dihargai dan mempunyai peranan penting dalam sekolah.
Ini akan meningkatkan semangat kerjasama dan persefahaman antara pelajar, guru dan pentadbir sekolah. Dengan demikian, kita dapat membina generasi pelajar yang lebih bertanggungjawab, berkemahiran dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.-UTUSAN
AZLIZA A. R
Parit Sulong, Johor









