SAUDARA PENGARANG,
PKR telah memilih Dr. Joohari Ariffin sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap untuk misi merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Paling aneh dalam PRK kali ini apabila Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap bagi Kerajaan Perpaduan.
Bukanlah tidak boleh atau dianggap pelik tetapi tidak boleh disamakan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kerana beliau datang daripada jalur politik sebelum dilantik selaku menteri besar selain telah banyak kali bertanding dalam pilihan raya dan memegang beberapa jawatan penting di dalam parti.
Sementara Mohamad hanya bertanding semasa di PRN lalu, itu pun dianggap sebagai bidang terjun dan kebetulan tuah lebih memihak kepadanya dan menang Batu Maung.
Hal ini juga telah diperingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera PRK Sungai Bakap. Malah menjadi tugas berat dan penting bagi calon PKR memandangkan ini adalah medan terbaik untuk membuktikan yang parti ini masih mempunyai tempat di Pulau Pinang.
Jika tidak berjaya dilakukan, PRK akan berdepan nasib yang serupa seperti UMNO selain dianggap tidak punya harapan untuk bangkit semula membina kekuatan di Pulau Pinang. Sebaliknya Pas akan menguasai kerusi DUN di kawasan luar bandar yang majoriti penduduknya terdiri orang Melayu.
Pun begitu keadaan mungkin lebih malang lagi sekiranya UMNO mahupun PKR akan terus melemah dan boleh hilang dari radar politik di negeri ini. Ia tidak mustahil kerana Perikatan Nasional (PN) menang banyak kerusi di kawasan majoriti orang Melayu.
Oleh disebabkan kerana itulah PRK tiada pilihan lain melainkan membawa misi wajib menang dengan merampas kembali DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini. Justeru faktor calon adalah menjadi penentu yang membolehkan matlamat untuk merampas DUN ini dapat direalisasikan.-UTUSAN
SURVIVAL UMAH
Pulau Pinang








