SAUDARA PENGARANG,
SAMA ada benar atau tidak benar, tetapi kenyataannya rakyat Malaysia tidak berminat bekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) walaupun mendapat tawaran gaji sangat menarik.
Bayangkan sekiranya anda seorang penganggur, sanggupkah anda bekerja sebagai pekerja pembersihan, buruh di ladang sawit atau di tapak pembinaan? Majoritinya saya berani jamin, tidak akan bekerja di ketiga-tiga tempat yang saya sebutkan tadi. Ini kerana bertitik tolak dari rantaian kehidupan seseorang sejak lahir lagi. Sejak kecil kita sebenarnya tidak mahu kerja susah seperti ayah dan ibu. Kita rasa kasihan melihat mereka bekerja di sawah bendang, menangkap ikan dan sebagainya.
Tetapi pernahkah kita bertanya kepada ibu bapa mengapa mereka bekerja dalam sektor demikian. Adakah mereka mempunyai pilihan yang lain dari bekerja di tempat itu. Saya rasa jika mereka diberi pilihan, pasti mereka ingin bekerja di sektor kerajaan.
Keluarga Malaysia pada 1957 dahulu bukan macam keluarga Malaysia sekarang. Dahulu kebanyakannya mempunyai anak yang ramai, bukan macam sekarang, selesa dengan tiga orang anak sahaja. Anak yang sulung biasanya akan bersekolah sehingga darjah enam kerana ingin memberi peluang kepada adik-adiknya untuk belajar pula.Inilah yang digelar pengorbanan. Dia kasihan melihat ayah dan ibunya bekerja dalam sektor 3D untuk membesarkan mereka adik-beradik.
Tahukah kita mengapa ibu dan ayah ketika zaman itu sanggup bekerja dalam sektor 3D? Ini adalah demi masa hadapan anak-anak. Mereka kalau boleh tidak mahu anak dan cucu-cicit hidup susah dan tiada masa hadapan. Kerana itu, ibu bapa ikhlas menganggap kerja sebagai ibadah.
Berbeza dengan zaman sekarang, kebanyakkan kita lebih suka bekerja di kawasan industri berhawa dingin daripada memegang galah pemotong buah tandan kelapa sawit di bawah panas matahari atau bergelumang dengan pasir dan simen setiap hari.
Saya rasa rakyat Malaysia perlu bersedia juga berada dalam sektor 3D. Jika tidak sampai bila-bila pun akan terus mengharapkan titik peluh warga Bangladesh, Indonesia atau Pakistan yang menumpang bumi Malaysia semata-mata mengharapkan rezeki yang halal.-UTUSAN
IBNU ARASY
Kepala Batas, Pulau Pinang.









