SAUDARA PENGARANG,
SEJAK Kerajaan Negeri Perlis menjalankan pelbagai usaha untuk menarik seramai mungkin pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025, ternyata menampakkan kejayaan memberangsangkan.
Setiap hari terutama pada hari hujung minggu dan hari cuti umum, ketara sekali ramai pelancong yang datang ke negeri ini.
Bagi saya dua perkara utama harus dilakukan oleh para pengusaha kedai makan ialah tempat letak kereta yang mencukupi dan tandas yang sempurna.
Untuk menyediakan tempat letak kereta yang selesa dan mencukupi, sudah pasti ia agak sukar kerana mempunyai kawasan terhad.
Namun, jika keadaan tandas di sesebuah restoran kotor serta menjijikkan, apa alasan yang hendak diberi oleh para pemilik sesebuah restoran terbabit tidak boleh diterima.
Untuk memastikan bilik air sentiasa dalam keadaan bersih, tidak bermakna bilik air luas dan menempatkan kemudahan-kemudahan canggih.
Biar sesebuah bilik air restoran kecil, tetapi ia dilihat sentiasa bersih dan tidak menjijikkan.
Tidak ada makna jika bilik air sesebuah restoran luas dan canggih, tetapi keadaannya amat kotor dan berbau busuk.
Pemilik restoran-restoran sedemikian tidak usah kedekut untuk mengupah petugas khas membersih tandas sepanjang masa.
Restoran yang mempunyai tandas berbau busuk dan kotor akan menjadi sebutan pelanggan sepanjang masa, hatta tidak mustahil mereka akan mengambil gambar dan menghantarkannya ke mana-mana media.
Para pemilik restoran harus memahami hakikat tersebut bukan sekadar menjaga nama baik restoran mereka, tetapi nama baik Perlis umumnya.
Teguran ikhlas ini bukan untuk menyinggung sesiapa, tetapi untuk memastikan para pelancong berminat datang lagi ke Perlis tidak hanya untuk makan makanan yang sedap dan murah, tetapi juga menikmati suasana selesa dan bersih di semua restoran.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










