Atasi ‘perang’ bola sepak dengan disiplin

Atasi ‘perang’ bola sepak dengan disiplin

PERGADUHAN melibatkan pemain dalam Sukan Sekolah Daerah (MSSD) adalah contoh yang jelas kemerosotan disiplin dan etika dalam sukan di peringkat sekolah. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Insiden pemain bola sepak sekolah menengah menyerang pengadil semasa pertandingan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) menimbulkan pelbagai reaksi dalam media sosial. Ramai yang tidak bersetuju dengan tingkah laku pemain-pemain pasukan tersebut namun terdapat juga komen yang menyebelahi mereka.

Baru-baru ini tersebar pula video satu perlawanan bola sepak yang melibatkan pelajar sekolah rendah melakukan aksi tendangan ala Kungfu dan memukul pemain lawan. Walaupun tidak terdapat penjelasan jelas berkenaan insiden tersebut tetapi ia menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat.

Ini adalah contoh yang jelas mengenai kemerosotan disiplin dan etika dalam sukan di peringkat sekolah.

Platform media sosial memudahkan penyebaran video sukan yang mengandungi aksi-aksi agresif atau melanggar etika, sering kali dilihat sebagai aksi wira atau mengagumkan.

Kesan pemaparan berulang kepada aksi-aksi seperti ini boleh menyebabkan norma sosial pelajar berubah. Mereka mungkin mula menganggap kekerasan sebagai tindakan yang boleh diterima atau dikehendaki dalam sukan.

Fenomena ini semakin parah lagi disebabkan kurangnya konteks atau kecaman terhadap aksi kekerasan yang ditunjukkan, membiarkan ruang persepsi yang terbuka bagi pelajar untuk meniru apa yang mereka lihat.

Tekanan dari sekolah, keluarga dan dalam diri sendiri untuk mencapai prestasi tinggi dalam sukan boleh mendorong pelajar mencari jalan pintas untuk mencapai kejayaan termasuk melalui tindakan yang melanggar etika atau agresif.

Situasi ini terutamanya berlaku dalam sistem yang menilai kejayaan berdasarkan kemenangan dan pencapaian sahaja, tanpa mempertimbangkan cara pencapaian tersebut.

Justeru, pendidikan nilai dan etika harus bermula dari rumah. Ibu bapa perlu memainkan peranan proaktif dalam mendidik anak-anak tentang pentingnya menghormati lawan dan pengadil dalam sukan. Mereka boleh melakukan ini melalui perbincangan harian dan memberikan contoh tingkah laku yang baik dalam kehidupan seharian. Selain itu, jurulatih dan guru harus bekerjasama untuk memastikan nilai-nilai ini diserapkan dalam sesi latihan mahupun pengajaran di sekolah bagi mendorong pelajar untuk mengamalkan semangat kesukanan yang sebenar.

Pihak sekolah juga harus menguatkuasakan disiplin dengan tegas dan konsisten. Ini termasuk memperkenalkan dan menegakkan kod tatalaku sukan yang jelas, dengan pelajar yang melanggar peraturan akan berdepan hukuman seperti penggantungan dari perlawanan atau aktiviti kokurikulum. Pemberian kaunseling kepada pelajar yang terlibat dalam kekerasan juga penting untuk memahami dan mengatasi faktor-faktor yang mendorong tingkah laku agresif mereka.

Selain itu, pengadil harus dilengkapi dengan undang-undang permainan dan kemahiran untuk mengelakkan serta menangani konflik di lapangan, manakala jurulatih harus dapat mengenali tanda-tanda tekanan atau agresif dalam kalangan pemain dan menanggapinya secara efektif. Ini dapat membantu memastikan perlawanan dijalankan dalam suasana yang adil dan selamat.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHAMAD NIZAM NAZARUDIN
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN