SAUDARA PENGARANG,
SAHABAT Alam Malaysia (SAM) amat bimbang dengan kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa Sarawak akan mempunyai kawalan mutlak dalam menguruskan alam sekitarnya sendiri.
Alam sekitar tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan sama ada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri. Ketiadaan peruntukan yang jelas ini telah menimbulkan masalah berhubung isu tadbir urus alam sekeliling antara kerajaan persekutuan dan negeri badan perundangan.
Walau bagaimanapun, mahkamah telah mengiktiraf bahawa setiap warganegara mempunyai hak terhadap alam sekitar yang bersih dan sihat sebagai hak asasi dalam Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan yang berhubung dengan hak kepada kebebasan hidup.
Kedua-dua badan perundangan dan Kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai kewajipan untuk memastikan perlindungan hak setiap rakyat terhadap alam sekitar yang bersih dan sihat tanpa diskriminasi.
Istilah alam sekitar melangkaui sempadan sesebuah negeri atau negara contohnya pencemaran dan kemerosotan udara, air, biodiversiti dan ekosistem, walaupun tanah dan hutan adalah perkara dalam bidang kuasa sesebuah negeri.
Bagi tujuan keseragaman antara negeri, Parlimen telah menggubal undang-undang seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) yang akan diguna pakai di semua negeri.
Namun, menjelang Ogos 2024, Jabatan Alam Sekitar (DoE) negeri akan diserap ke dalam Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) yang ditubuhkan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak 1993 (NREO 1993).
Undang-undang Sarawak mengenai EIA mengecualikan keperluan mandatori untuk penyertaan awam dan perundingan ke atas projek yang mempunyai kesan kepada alam sekeliling yang ketara. Ia menyerahkan isu perundingan mengenai EIA kepada budi bicara setiap projek yang mempunyai kepentingan diri sendiri dan bertentangan dengan kepentingan awam.
Kami menganggap penyertaan awam, perundingan dan penglibatan sebagai komponen asas dalam mana-mana proses EIA kerana ia memastikan prinsip ketelusan dan akauntabiliti ditegakkan untuk memastikan tadbir urus yang baik.
Tanpa komponen utama penglibatan awam, hak kepada alam sekitar tidak boleh dilindungi. Malah, ini sama dengan mempunyai peraturan yang lebih lemah dan tidak adil kepada penduduk negeri tersebut, termasuk orang asal, yang secara berterusan telah membangkitkan isu kemerosotan alam sekitar, pencemaran dan banjir.
Malaysia telah meratifikasi perjanjian antarabangsa berkaitan alam sekeliling termasuk Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bansga-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), Perjanjian Paris dan Konvensyen PBB mengenai Kepelbagaian Biologi (UNCBD). Kerajaan-kerajaan negeri mesti melaksanakan komitmen antarabangsa yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak melemahkannya.
Kami menggesa Kerajaan Negeri Sarawak untuk tidak menggubal undang-undang yang lebih lemah dan tidak selaras dengan undang-undang persekutuan dan apa-apa keperluan di bawahnya, seperti yang dilihat dalam isu proses EIA.
Kami bimbang negeri lain juga akan mengikuti contoh Sarawak. Dalam hal ini, kerajaan persekutuan tidak boleh membenarkan kerajaan negeri menerima pakai undang-undang dan peraturan yang lebih lemah.
Oleh itu, kami menggesa Kerajaan Persekutuan menjelaskan langkah-langkah yang sedang diambil untuk memastikan kerajaan-kerajaan negeri seperti Sarawak tidak terlepas daripada tanggungjawab memastikan semua rakyat Malaysia dilindungi secara sama rata dari segi perlindungan alam sekeliling dan perubahan iklim.-UTUSAN
MEENAKSHI RAMAN
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM)










