Tingkat gaji penjawat awam pelaburan masa depan

Tingkat gaji penjawat awam pelaburan masa depan

TENAGA kerja awam yang diberi kadar gaji yang baik dan wajar ialah tulang belakang perkhidmatan awam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei lalu mengumumkan peningkatan signifikan dalam gaji penjawat awam iaitu melebihi 13 peratus. Pengumuman ini, yang merupakan sebahagian daripada dampak awal Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu berpotensi memberikan manfaat besar kepada ekonomi negara dalam jangka masa pendek dan panjang.

Kesan segera daripada kenaikan gaji kira-kira 1.5 juta penjawat awam adalah peningkatan permintaan domestik. Apabila penjawat awam mempunyai lebih banyak lebihan pendapatan, perbelanjaan pengguna dijangka meningkat sekali gus merangsang perniagaan dan perkhidmatan tempatan.
Peningkatan kuasa beli ini bukan hanya berita baik untuk sektor peruncitan bahkan kepada bidang perusahaan secara umum kerana bakal menyumbang kepada pewujudan pekerjaan dan memupuk persekitaran ekonomi yang bertenaga.

Ia juga dijangka memberi kesan domino kepada sektor swasta untuk turut menawarkan kadar gaji yang lebih menarik dan lumayan. Menteri Sumber Manusia turut memberi isyarat berkenaan hal ini melalui Dasar Gaji Progresif. Senario ini pastinya akan memikat tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam negara dan menjadi tarikan kepada syarikat multinasional yang berhasrat untuk melabur atau meluaskan operasi ke Malaysia.

Pentadbiran Perdana Menteri turut menyusulkan pengumuman dengan komitmen untuk terus memantau kadar inflasi bagi memastikan kenaikan gaji adalah mampan dan tidak membawa kepada kemeruapan ekonomi (economic overheating).
Selari dengan Laporan Tinjauan Semula Ekonomi 2023 (EMR 2023) oleh Bank Negara yang mendedahkan kadar inflasi sederhana pada 2024 iaitu antara 2 hingga 3.5 peratus iaitu antara kadar yang terendah di Asia, pendekatan berhati-hati ini mencerminkan komitmen kerajaan yang lebih luas terhadap tanggungjawab fiskal dan kestabilan ekonomi, yang penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan menempatkan Malaysia sebagai destinasi yang baik untuk aktiviti ekonomi global.

Tenaga kerja awam yang diberi kadar gaji yang baik dan wajar ialah tulang belakang perkhidmatan awam cekap selain menunjukkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan ganjaran kerja kompetitif untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik dalam sektor awam. Peningkatan pendapatan seharusnya berkait langsung dengan peningkatan produktiviti.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali dalam ucapan amanat beliau awal tahun ini turut menyeru supaya penjawat awam melaksanakan tugas setimpal dengan ganjaran yang diterima.

Perkara ini semestinya dapat direalisasikan kerana melalui peningkatan gaji, taraf hidup penjawat awam akan dipertingkat, dorongan kerja akan menguat seterusnya diterjemahkan dalam penyampaian perkhidmatan yang berkualiti.

Maka, dengan melabur dalam penjawat awamnya bermakna Malaysia melabur dalam masa depannya. Pendekatan kerajaan mutakhir melampaui sekadar angka 13 peratus atau minimum RM2000 adalah tentang mengiktiraf sumbangan yang tak ternilai dari pekerja perkhidmatan awam kepada kemajuan negara.

SSPA iaitu gelombang pembaharuan perkhidmatan awam yang lebih sekadar penambahbaikan kadar gaji, turut akan diumumkan tidak lama lagi adalah satu bukti bahawa kerajaan percaya Malaysia yang makmur dibina atas asas tenaga kerja awam yang kuat, bermotivasi dan merasa dihargai.-UTUSAN

MOHAMAD IKHWAN AL SYAHID
ABDULLAH TAHIR
Perunding latihan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×