SAUDARA PENGARANG,
MENYEWA rumah kedai pilihan terbaik bagi menampung keperluan sekolah yang memiliki ramai pelajar.
Sekolah yang memiliki jumlah pelajar yang tinggi sering menghadapi pelbagai masalah seperti kesesakan, keselamatan dan kekurangan kemudahan. Keadaan ini tidak hanya mencabar bagi pelajar tetapi juga memberi tekanan kepada pihak pengurusan sekolah.
Sekolah yang mempunyai pelajar melebihi 1,500 orang seringkali terpaksa berkongsi kemudahan dengan sekolah lain yang memiliki jumlah pelajar yang lebih rendah. Ini menimbulkan keadaan yang tidak adil.
Dengan menyewa rumah kedai, sekolah dapat menyelesaikan beberapa masalah selain boleh dijadikan tempat tambahan untuk kelas atau ruang kerja guru.
Ini akan membantu mengurangkan kesesakan di dalam kelas dan memberi peluang kepada guru untuk memberi perhatian yang lebih kepada setiap pelajar. Selain itu, rumah kedai yang disewa juga boleh dijadikan asrama sementara bagi pelajar yang tinggal jauh dari sekolah.
Selain itu, ini akan memberi peluang kepada sekolah untuk meningkatkan interaksi sosial dalam kalangan pelajar. Dengan menyediakan ruang tambahan di luar persekitaran sekolah, pelajar dapat berkumpul untuk aktiviti kokurikulum atau projek bersama. Ini akan membantu memperkukuhkan hubungan sosial antara pelajar dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih mesra dan bersemangat.
Kesimpulannya, menyewa rumah kedai untuk menampung pelajar di sekolah-sekolah dengan jumlah pelajar melebihi 1,500 orang boleh menjadi alternatif jangka pendek yang berkesan dalam mengatasi masalah yang timbul akibat kesesakan dan kekurangan kemudahan.
Walau bagaimanapun, langkah ini perlu disempurnakan dengan bijak dan teliti serta memastikan kesan positifnya lebih besar daripada cabarannya. Dengan pentadbiran yang efisien dan sokongan yang mencukupi, sekolah boleh mencapai kejayaan dalam memberikan pendidikan yang berkualiti kepada pelajar.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Shah Alam










