SAUDARA PENGARANG,
Pada suatu ketika dahulu, ramai yang mempamerkan kekayaan material dan harta benda di media sosial. Namun, trend ini telah berubah. Kini, ramai yang mula berlumba-lumba untuk berkongsi kebahagiaan di platform media sosial masing-masing, terutamanya mereka yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga.
Adakah media sosial telah menjadi penentu atau kayu ukur kebahagiaan dalam kehidupan berumahtangga? Memperlihatkan kebahagiaan di media sosial seharusnya bermula daripada hati setiap individu. Jika perkongsian tersebut bertujuan untuk memberi motivasi kepada diri sendiri dan orang lain, ia mungkin tidak salah.
Namun perkara ini akan membawa kepada permasalahan jika perkongsian dibuat secara berlebih-lebihan sehingga menimbulkan perasaan negatif dalam diri pengikut media sosial. Lebih buruk, jika perasaan itu bukan sahaja timbul secara dalaman, malah terlalu membuak-buak sehingga turut mendorong untuk melakukan perkara-perkara buruk secara fizikal.
Selain itu, perkongsian kebahagiaan secara berlebihan juga boleh membahayakan keselamatan diri. Berkongsi tentang tempat tinggal atau rutin harian boleh meningkatkan risiko kecurian atau kejadian tidak diingini. Demikian juga, memberitahu orang ramai tentang pemergian kita sekeluarga ke kampung atau bercuti boleh menjadi risiko keselamatan, terutamanya jika seseorang tinggal bersendirian di rumah.
Tidak semua perkongsian kebahagiaan di media sosial mencerminkan realiti kehidupan sebenar sesebuah perkahwinan. Sering kali, gambaran kebahagiaan itu hanya salah satu sisi kisah indah dari pelbagai dimensi sebuah hubungan suami dan isteri. Kita tidak boleh menilai kebahagiaan seseorang hanya berdasarkan apa yang dilihat di media sosial.
Perlu difahami juga bahawa tidak semua yang dipaparkan di media sosial adalah benar, malah kemungkinan ada yang bertujuan komersial dengan melakukannya sebagai paid review. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam berkongsi maklumat agar tidak merosakkan privasi diri dan tentunya bukan untuk menunjuk-nunjuk mahupun menimbulkan perasaan riak.
Maka, jika ditanyakan, salahkah kita menunjukkan bahagia di media sosial? Tepuk dada, tanyalah selera.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR
Universiti Malaya










