SAUDARA PENGARANG,
Pelaksanaan program literasi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di sekolah sangat penting bagi pembangunan kemahiran berbahasa. Melalui program ini, pelajar dapat meningkatkan kefasihan dalam kedua-dua bahasa secara serentak dan memperkukuhkan asas komunikasi yang kukuh.
Selain itu, literasi berfungsi sebagai asas kepada pembelajaran yang berkesan dalam pelbagai mata pelajaran. Dengan menggalakkan pemahaman mendalam terhadap bahasa, pelajar dapat meningkatkan kemampuan mereka dalam membaca, menulis dan memahami konsep-konsep yang diajar. Ini akan membentuk individu yang lebih berpengetahuan, kritis dan berdaya saing dalam era globalisasi ini.
Berikut adalah beberapa aktiviti yang sesuai dilaksanakan untuk memantapkan program literasi bahasa di sekolah.
Program bacaan bersama
Inisiatif ini tidak hanya meningkatkan minat membaca tetapi juga memperkukuh kecekapan dalam kedua-dua bahasa. Pelajar dapat meneroka dan memahami teks dalam bahasa ibunda dan bahasa asing, memperluaskan perbendaharaan kata serta memupuk kemahiran berkomunikasi yang lebih baik.
Persembahan teater pendek
Melalui aktiviti ini, pelajar dapat melatih kebolehan dalam pengucapan, intonasi dan penghayatan watak. Selain itu, persembahan teater juga membuka ruang untuk pelajar berinteraksi secara kreatif dalam kedua-dua bahasa, meningkatkan keyakinan diri dalam berkomunikasi.
Perbincangan buku
Sesi ini membolehkan pelajar memahami lebih mendalam tentang isi kandungan buku-buku tersebut sambil melatih kemahiran berbahasa. Dengan berinteraksi dalam perbincangan ini, pelajar dapat meningkatkan pemahaman tentang wawasan yang dibawa oleh setiap buku serta memperkukuhkan hubungan antara komuniti pembaca dalam persekitaran pendidikan.
Penulisan kreatif
Melalui aktiviti ini, pelajar dapat mengasah kemahiran menulis sambil mengungkapkan idea dengan cara yang kreatif dan inovatif. Dengan memperluaskan kebolehan mereka untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, pelajar juga dapat memperkukuhkan keupayaan mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat global yang semakin pelbagai dan komplek.
Pertandingan pidato
Pertandingan ini memberi platform untuk melatih keberanian dan kemahiran komunikasi pelajar sambil meningkatkan keyakinan diri. Dengan berucap dalam kedua-dua bahasa, pelajar dapat memperluaskan perbendaharaan kata dan memahami budaya serta kepelbagaian linguistik.
Kesimpulannya, dengan memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memerlukan kemahiran bahasa, mereka dapat memperoleh kecekapan yang lebih baik dalam kedua-dua bahasa. Ini tidak hanya memberi manfaat kepada perkembangan bahasa mereka tetapi juga memperkukuhkan keupayaan mereka untuk berkomunikasi dengan lebih lancar dan efektif dalam dunia yang semakin global ini.-UTUSAN
AZIRAH A.R
SMK Dengkil, Selangor










