SAUDARA PENGARANG,
KESATUAN Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyokong dan menyambut baik saranan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk memberikan autonomi kepada guru- guru dalam melaksanakan Kurikulum Persekolahan 2027.
Langkah tersebut diharap dapat memberikan peluang kepada guru untuk menyerlahkan kreativiti dalam pendekatan pengajaran bagi memastikan objektif pembelajaran tercapai.
Ini kerana guru berdepan dengan keadaan yang berbeza, murid yang berbeza, kemudahan yang berbeza serta lokaliti yang berbeza. Justeru guru mampu menilai dan mencari kaedah yang paling terbaik dan sesuai untuk memastikan proses pengajaran mencapai objektifnya.
Pada masa yang sama untuk memastikan keberkesanan autonomi ini, pihak Kongres berharap KPM dapat menyediakan latihan dan kemahiran yang secukupnya bagi memastikan aspek integriti dan kebertanggungjawab guru dimantapkan.
Autonomi yang diberikan kepada guru dalam melaksanakan Kurikulum 2027 nanti perlulah dipandu dan dipimpin dengan sebaiknya bagi memastikan guru mampu membuat keputusan dalam melaksanakan kaedah pengajaran, pemilihan bahan pengajaran serta penilaian dan pentaksiran murid demi pendidikan yang berkualiti selain mengelakkan keciciran murid.
Kementerian Pendidikan melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) harus menyediakan panduan model autonomi guru bagi memantapkan aspek pengajaran, ketelusan dan kebertanggungjawaban guru dalam ruang lingkup autonomi yang diberikan nanti.-UTUSAN
MOHD. AZIZEE HASAN
Setiausaha Agung Kongres










