SAUDARA PENGARANG,
PELAJAR mempunyai peranan yang penting dalam usaha memastikan sekolah menjalankan pengurusan sampah secara lestari. Pengurusan sampah merupakan satu aspek penting dalam usaha memelihara alam sekitar dan menggalakkan kelestarian alam.
Melalui penyertaan dalam aktiviti pengurusan sampah secara lestari, pelajar dapat belajar nilai-nilai kebersihan, tanggungjawab dan kepekaan terhadap alam sekitar.
Dengan bertanggungjawab membuang sampah pada tempatnya dan mengasingkan jenis sampah, pelajar dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan meningkatkan kebersihan persekitaran sekolah. Ini membantu mencipta persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan selesa.
Selain itu, melalui penyertaan dalam aktiviti seperti gotong-royong membersihkan sekolah atau kempen kesedaran alam sekitar, pelajar dapat meningkatan kesedaran dan sikap positif terhadap penjagaan alam sekitar dalam kalangan rakan sebaya.
Ini membolehkan budaya kebersihan dan kelestarian alam disemai sejak dari peringkat sekolah dan dapat dihayati secara berterusan dalam kehidupan seharian.
Pelajar juga boleh menjadi agen perubahan dalam mendorong pelaksanaan amalan pengurusan sampah yang lebih baik di sekolah. Mereka boleh menyuarakan cadangan dan idea untuk meningkatkan sistem pengurusan sampah di sekolah, seperti pengenalan kitar semula, peningkatan kemudahan pemilahan sampah atau penerapan program pendidikan kesedaran alam sekitar secara berterusan.
Selain menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, penglibatan dalam pengurusan sampah secara lestari juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran kepimpinan dan kerjasama.
Mereka dapat belajar bekerjasama dalam kumpulan untuk mencari penyelesaian serta mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek-projek yang bertujuan meningkatkan keberkesanan pengurusan sampah di sekolah.
Pengurusan sampah secara lestari juga membuka peluang kepada pelajar untuk mengenalpasti potensi kreativiti dalam mencari cara-cara yang lebih inovatif untuk mengurangkan pembaziran dan memanfaat semula bahan buangan.
Ini memberi mereka pengalaman praktikal dalam aplikasi konsep-konsep pembangunan lestari dalam kehidupan seharian.
Penglibatan dalam pengurusan sampah secara lestari di sekolah membantu mencipta persekitaran pembelajaran yang holistik sekali gus membentuk aspek penting dalam pembentukan watak dan sikap ke arah pembangunan mampan dalam masyarakat.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam










