SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini satu drama mengenai khunsa ditayangkan di kaca televisyen bermula bulan Ramadan lalu. Drama ini membawa mesej yang mendalam tentang hakikat seorang individu khunsa menghadapi rintangan kehidupan akibat tindakan drastik si ayah ketika dia masih bayi. Kisah ini sedikit sebanyak telah memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai interseksualiti atau umum mengenalinya sebagai khunsa.
Pemahaman masyarakat Malaysia mengenai hakikat interseksualiti masih agak sempit dan kadangkala terkhilaf dengan menyamakannya dengan transeksualiti atau kecelaruan jantina sosial seperti mak nyah, pondan dan lelaki lembut.
Perkembangan teknologi perubatan sejak 1960an mewajarkan pembedahan penentuan jantina (PPJ) terhadap bayi interseks dilakukan seawal usia dua tahun. Protokol ini berdasarkan teori perkembangan jantina yang menyatakan identiti jantina seseorang lebih dipengaruhi persekitaran sosial berbanding aspek biologikal atau semula jadi. Berhubung teori tersebut, kebanyakan pakar perubatan pada masa itu bersetuju bahawa individu interseks yang telah ditentukan jantinanya semasa pembedahan serta menerima asuhan dan didikan yang berkesan daripada ibu bapa akan menunjukkan hasil yang positif. Ini bermakna, mereka mampu mengenal pasti identiti jantina mereka dan menjalani kehidupanan heteroseksual dengan baik.
Sehinggalah pada akhir tahun 1990an, keutuhan teori ini walau bagaimanapun digugat menerusi artikel oleh Diamond dan Sigmudson yang mendedahkan seorang individu interseks di Kanada menolak penentuan jantina sebagai seorang perempuan ketika bayi dan memilih untuk hidup sebagai seorang lelaki ketika dewasa, walaupun PJJ terhadapnya pada masa lalu dianggap berjaya.
Justeru, proses penentuan jantina bagi bayi interseks tidak semudah yang disangka dan memerlukan lebih daripada sekadar pertimbangan perubatan, sosial dan psikologi. Malah, berdasarkan kepada pelbagai soalan, pertimbangan agama dilihat sangat signifikan kerana ia melibatkan kehidupan seseorang individu daripada segenap aspek, bukan sahaja dari segi kehidupan peribadi, tetapi juga kehidupan bermasyarakat.
Tidak keterlaluan untuk menyifatkan bahawa keperluan memiliki satu jantina yang diiktiraf masyarakat adalah satu kehendak hakiki setiap manusia. Isu yang kompleks harus ditangani dengan cara yang holistik agar penyelesaian menjadi lebih berkesan dan praktikal.
Drama ini akan bersambung ke musim kedua dan semoga ia digarap sempurna bagi memberi pendedahan dan pengajaran sewajarnya kepada masyarakat. Tahniah kepada ahli-ahli produksi drama Khun:sa kerana berjaya mengetengahkan isu yang selama ini dipandang sepi.-UTUSAN
DR. MOHD SALIM MOHAMED
Fakulti Sains, Universiti Malaya










