SAUDARA PENGARANG,
Kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu boleh memberi kesan berpanjangan jika tiada perubahan dilakukan demi memastikan jangka hayat parti kekal relevan dan diterima rakyat.
Perkara asas utama yang perlu diberi pertimbangan segera adalah tanggungjawab kepemimpinan untuk mengakui kelemahan dan perlu satu anjakan paradigma dari sudut kepemimpinan yang dilihat lesu dan tiada suara yang mampu mengangkat suara rakyat.
Kelesuan ini akan mempengaruhi pola pengundian khususnya dalam kalangan pengundi Melayu. Bahkan kelesuan ini perlu ditangani segera bagi membolehkan kepemimpinan baharu yang lebih muda, segar dan berwibawa menerajui kepemimpinan gabungan parti.
Jika ditelusuri kepemimpinan PN tidak kurang hebatnya. Antara tokoh yang mampu membawa anjakan paradigma hebat seperti Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan beberapa calon muda yang mampu menarik sokongan terutamanya pengundi muda.
Selain itu, kekalahan PN juga dilihat menghakis sedikit sebanyak keyakinan pengundi terhadap calon yang bertanding. Ini dapat dibuktikan melalui kemenangan calon PH yang lebih muda, berkelayakan dari sudut akademik, berpengalaman sebagai pembantu kepada menteri dan yang paling penting mempunyai idealisme untuk memajukan kawasan yang dimenangi.
Kegagalan mengemukakan calon yang tepat pada masa hadapan akan memberikan laluan mudah buat calon Kerajaan Perpaduan memenangi kerusi yang dipertandingkan. Justeru, PN perlu bersedia dengan calon yang mampu membawa aspirasi rakyat dengan ketokohan sebagai seorang pemimpin yang muda dan bertenaga.
Bagi memenangi hati pengundi dan menaikkan semangat demokrasi, sudah tentu pihak yang kalah perlu menyiapkan ‘post-mortem’ bagi memperbaiki struktur semak dan imbang yang lebih berkesan.
Peranan pembangkang yang berkualiti dan terbaik diperlukan bagi membina sebuah nilai peradaban yang luar biasa seperti harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui falsafah ‘menggapai langit dan mengakar ke bumi’ dengan semangat idealisme tinggi yang berpasak akar nilai dan adab yang luhur.
DR. ZURAIMY ALI
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis










