SAUDARA PENGARANG,
GELOMBANG global peralihan Kenderaan Elektrik (EV) bakal menyaksikan pasaran dan industri ini di Malaysia berkembang dengan sangat pesat dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun yang akan datang.
Menyedari perkembangan yang dinamik ini, seramai 32 orang belia berkemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dihantar ke Beijing, China bagi tujuan Peningkatan Kemahiran ‘Advanced Electric Vehicle’ di bawah inisiatif Program Mobiliti Kejuruteraan Automatif TVET Termaju Malaysia-China dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) dan TANG International Education China.
Mereka adalah pelajar bidang kejuruteraan automotif dari UMPSA, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Gemilang Motor Academy (GMA) yang akan menjalani latihan selama dua minggu di Beifang Auto R&D Center di Beijing mulai 26 Mei hingga 5 Jun.
Penghantaran bakat kemahiran TVET tempatan ke China amat relevan memandangkan ketika ini Malaysia berada di landasan betul untuk menjadi kuasa EV yang hebat di Asia Tenggara dengan kerajaan secara agresif menggalakkan ekosistem EV yang kondusif, disokong bukti komitmen perniagaan yang kukuh.
Kita juga akan menyaksikan industri menerima guna kemahiran dan infrastruktur baharu yang sesuai untuk pelbagai peringkat elektrifikasi, daripada hibrid sederhana kepada kenderaan elektrik sepenuhnya, selain memberi kemahiran tambahan dan baharu di luar kemahiran sedia ada yang dimiliki tenaga kerja automotif. Di samping itu, ia membuka peluang baharu untuk inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan komponen bernilai tinggi.
Justeru, latihan bersifat mobiliti antarabangsa bakat TVET tempatan ke China akan membantu mengisi keperluan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri pembuatan dan perkhidmatan bidang berkenaan.-UTUSAN
MOHAMMAD RIZAN HASSAN
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan
Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir)










