SAUDARA PENGARANG,
TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) sebenarnya mampu dan boleh diguna pakai dalam bidang pembangunan perancangan bandar pintar termasuklah perancangan sumber landskap yang meliputi perancangan tumbuhan seperti pokok-pokok tua yang jumlahnya semakin meningkat di bandar-bandar besar di negara ini, susulan kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Teknologi AI boleh digunapakai dalam penyediaan simulasi ramalan keadaan pembangunan sesebuah bandar pada masa akan datang. Simulasi ramalan berdasarkan penggunaan teknologi AI ini mampu diguna pakai dalam menjana ramalan tumbesaran pokok-pokok yang ditanam pada ketika permulaan penanaman sehingga beberapa tahun ke hadapan selari dengan kepesatan pembangunan sesebuah bandar dan melihat ramalan kesan tumbesaran pokok ini pada masa hadapan.
Kesan tumbesaran pokok berkenaan mampu diramal pada masa akan datang sama ada ia akan memberi kesan yang baik mahupun negatif kepada persekitarannya. Sebagai contoh, satu kaedah dinamakan sebagai INTRAGRO dengan mengguna pakai teknik algoritma machine learning boleh meramalkan kadar tumbesaran pokok berdasarkan cuaca sesebuah kawasan dan ia mampu melihat kesan tumbesaran ini ke atas persekitaran kawasan bandar berkenaan.
Simulasi ramalan seumpama ini boleh meramalkan serta membantu pihak berkaitan dalam membuat keputusan sama ada tumbesaran pokok yang ditanam itu pada masa 50 atau 70 tahun akan datang masih boleh lagi berada di tapak yang sama atau perlu penanaman semula pokok baharu bagi mengantikan pokok sedia ada.
Simulasi ramalan dengan menggunapakai teknologi AI ini sekurang-kurangnya mampu mencegah insiden buruk yang tidak diingini berlaku pada masa hadapan malahan ia mampu juga digunakan sepanjang pemantauan penyelenggaraan pokok-pokok berkenaaan. Selain daripada itu, penggunaan teknologi pemetaan dalam sistem maklumat geografi (GIS) boleh digunakan dalam kerja pemantauan dan penyelenggaraan pokok-pokok dalam sesebuah bandar.
GIS merupakan suatu sistem yang boleh memeta lokasi kedudukan pokok berkenaan dan keadaan kesihatan setiap lokasi pokok berkenaan boleh dikemaskini untuk tujuan penyelenggaraan dan pemantauan.
Sistem GIS ini juga boleh diolah dalam melabelkan sama ada pokok mana yang sangat kritikal, sederhana kritikal dan dalam keadaan sangat baik bagi membantu pihak berkaitan dalam membuat keputusan sama ada pokok-pokok berkenaan perlu diganti dengan pokok baharu atau masih boleh dikekalkan di tapak sedia ada.
Pemantauan dan penyelenggaraan dengan mengguna pakai teknologi AI seumpama ini sedikit sebanyak boleh membantu mencegah insiden yang tidak diingini berlaku agar kecelakaan dapat dielakkan daripada menimpa orang awam dan merosakkan harta benda.
Sudah tiba masanya pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun kementerian berkaitan melihat kebaikan penggunaan teknologi AI dalam perancangan sesebuah bandar dan ekosistemnya selaras menuju ke arah sebuah bandar pintar.
Penggunaan teknologi AI ini boleh diguna pakai seiring dengan kaedah kerja semasa pemantauan dan penyelenggaran sesebuah bandar yang mana ia mampu membantu pihak bertanggungjawab dalam membuat keputusan dengan lebih bijak, efisien dan baik.
Masyarakat seharusnya tidak perlu merasa takut untuk mengadaptasi teknologi AI dalam kehidupan seharian termasuklah dalam kaedah pemantauan dan penyelenggaraan pokok-pokok berusia yang jumlahnya semakin meningkat di bandar-bandar besar di Malaysia selaras dengan inisiatif menuju ke arah bandar pintar. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. JOHARI MOHD. YUSOF
Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina
Universiti Putra Malaysia (UPM)










