SAUDARA PENGARANG,
SAYA merujuk artikel dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 23 April lalu, bertajuk Kenapa PTD perlu kuasai setiap kementerian?
Pada hemah saya jika diteliti ada benar dan asasnya pandangan berkenaan. Skim Pegawai Tadbir diplomatik (PTD) sama sahaja dengan 18 skim lain namun mereka mendapat pelbagai keistimewaan ekoran menjadi skim elit perkhidmatan awam yang menerajui jawatan tertinggi di setiap kementerian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hingga ke Pejabat Tanah dan Daerah di seluruh negara.
Mereka diberi gred yang tinggi dengan gaji yang lumayan.
Maknanya, PTD yang baharu masuk bekerja sudah dibayar gaji sama dengan skim lain yang telah bekerja antara lima hingga lapan tahun. Di situlah bijaknya mereka sedangkan skim lain terikat dengan gaji yang rendah.
Jika diteliti dari segi beban tugas pula, PTD hanya membuat satu kerja hakiki sahaja. Jika ditugaskan di bahagian kewangan, mereka hanya membuat kerja kewangan sahaja. Jika di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia hanya membuat kerja Pengurusan Sumber Manusia sahaja.
Indeks Pengukuran Prestasinya (KPI) pula berdasarkan bilangan mesyuarat yang dikendalikan atau voucher yang diproses bagi tujuan pembayaran bukan outcome daripada mesyuarat berbanding skim tertutup lain yang membuat kerja yang pelbagai.
Dalam aspek membuat dasar dan peraturan serta prosedur operasi standard (SOP), pegawai hakiki dalam skim lain yang tertutuplah disandarkan harapan. PTD sebaliknya hanya bertindak mengumpul maklumat sahaja dan dapat kredit walaupun setakat mengurusetiakan mesyuarat.
Saya juga mencadangkan kerajaan supaya dipertimbang laluan kerjaya yang lebih mudah kepada skim lain.
Semua skim sama ada terbuka atau tertutup, PTD atau bukan PTD menyumbang maksud yang sama ke arah kesejahteraan negara.-UTUSAN
TAN DEWA SAKTI
Tapah, Perak










