SAUDARA PENGARANG,
DI Malaysia, isu penghinaan terhadap agama Islam adalah satu perkara yang sangat sensitif dan berpotensi merosakkan perpaduan nasional. Memandangkan Islam merupakan agama Persekutuan dan dianuti oleh lebih daripada separuh populasi penduduk negara ini, tindakan menghina atau mencemarkan agama Islam boleh menimbulkan kemarahan dan protes dari umat Islam atau majoriti penduduk Malaysia.
Masalah penghinaan terhadap agama Islam di media sosial masih belum dapat diselesaikan dengan baik melalui sistem perundangan sedia ada. Ini kerana tiada peruntukan yang cukup jelas dan tegas mengenai penghinaan terhadap agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehingga kini, kesalahan penghinaan terhadap agama hanya boleh didakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi. Manakala, undang-undang syariah hanya boleh dikenakan terhadap individu Islam yang bersalah, tanpa peruntukan yang serupa bagi individu bukan Islam.
Selain itu, undang-undang syariah juga mempunyai beberapa kelemahan yang menyukarkan proses pendakwaan dan penghukuman kerana ruang lingkup kesalahan penghinaan agama terlalu luas dan tidak terperinci.
Penalti yang berat perlu dikenakan kepada pelaku sebagai iktibar dan sebagai pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar saling menghormati satu sama lain. Ironinya, ini bukanlah kes pertama yang mencabar sensitiviti umat Islam di negara ini.
Justeru, negara yang dipimpin oleh pemimpin Islam perlu bersatu dengan masyarakat untuk mengambil tindakan dan menghukum mana-mana individu yang cuba mencetuskan sensitiviti agama serta perkauman yang boleh mengancam keamanan negara.
Keamanan adalah asas utama dalam memelihara Islam, memajukan dan memakmurkan negara. Kedaulatan agama Islam pasti terancam jika keamanan negara tergugat, dan mustahil untuk menegakkan syariat Islam jika negara dalam keadaan huru-hara.
Malaysia tidak memerlukan unsur luar untuk merosakkan negara ini, tetapi cukup dengan tingkah laku segelintir rakyat yang menentang Perlembagaan dan tidak mengambil iktibar dari sejarah pembentukannya.
Jika diperhatikan, penyebab penghinaan terhadap agama Islam berkait rapat dengan isu pendidikan, hubungan etnik, politik dan undang-undang.
Sudah cukup dengan apa yang berlaku. Kita tidak boleh terus bermain dengan api, kerana akhirnya kita semua akan musnah terbakar sepenuhnya.-UTUSAN
SHAFEZAH ABDUL WAHAB
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM
Cawangan Melaka










