SAUDARA PENGARANG,
Aidilfitri merupakan sambutan bagi meraikan hari kemenangan umat Islam dengan penuh kegembiraan. Kemenangan ini menjadikan umat Islam sentiasa berusaha meningkatkan iman dan takwa agar direzekikan bertemu dengan Ramadan berikutnya. Beruntunglah mereka yang dipilih Allah untuk bertemu Ramadan berikutnya dan terus kekal istiqamah melaksanakan ketaatan kepada-Nya hasil didikan madrasah Ramadan.
Insan yang beriman dan melaksanakan ketaatan di bulan Ramadan pasti dijanjikan ganjaran baik di akhirat kelak.
Justeru, umat Islam yang melalui madrasah Ramadan dengan sempurna akan meraikan kemenangan di dunia melalui sambutan Aidilfitri dengan menginsafi diri bahawa kurniaan tersebut merupakan janji yang benar dan ia meninggalkan kesan mendalam buat roh setiap Muslim.
Kembali kepada fitrah bererti kembali merenung hakikat insan bahawa setiap detik perhitungan masa di dunia terlalu singkat dan memerlukan mereka yang sentiasa menghargai apa yang ada dan terus berjuang untuk memperoleh kemenangan hakiki iaitu menjadi insan pilihan Allah SWT serta diberikan izin memasuki syurga-Nya yang kekal abadi.
Semoga Aidilfitri tahun ini menjadikan Malaysia madani terus subur dengan semangat saling berkasih sayang dan membina semula negara tercinta dengan semangat persaudaraan yang kukuh serta mampu menjadikan nikmat keamanan selain perpaduan yang diperoleh kini sentiasa disyukuri.
Jadikan bulan Syawal iaitu bulan kemenangan umat Islam yang terbina dari madrasah Ramadan sebagai mampu mengukuhkan jati diri dan mengembalikan semula fitrah manusiawi yang lebih suci bersih agar kebaikan sentiasa hadir dalam jiwa insan.-UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis










