Kekalkan Malaysia sebagai peneraju global halal

Kekalkan Malaysia sebagai peneraju global halal

MALAYSIA kini dilihat sebagai peneraju utama dalam industri halal global dengan ekosistem perniagaan halal yang teratur dan menjadi pemangkin kepada sektor halal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INDUSTRI halal merupakan salah satu pemangkin ekonomi negara yang berpotensi besar untuk terus berkembang. Industri halal memainkan peranan penting dengan memberi peluang untuk memperluaskan pasaran eksport, meningkatkan pendapatan negara, memajukan sektor perniagaan tempatan, mencipta peluang pekerjaan, mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat serta memperkukuhkan imej Malaysia sebagai hab halal global.

Malaysia kini dilihat sebagai peneraju utama dalam industri halal global dengan ekosistem perniagaan halal yang teratur dan menjadi pemangkin kepada sektor halal.

Industri halal berteraskan makanan dan minuman sahaja dianggarkan bernilai AS$2.1 trilion (RM8.72 trilion) sementara industri farmaseutikal halal secara kolektif bernilai AS$136 bilion (RM564.74 bilion). Industri halal telah membantu memacu ekonomi secara global dengan nilai pasaran global produk halal yang mencecah AS$2.77 trilion setahun.

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dijangka meningkatkan kapasiti dan keupayaan negara dalam memajukan industri halal. Industri halal Malaysia memainkan peranan penting dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang kira-kira 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Malaysia kekal di tangga teratas buat tahun ke-10 berturut-turut bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023.

Namun begitu, tidak dinafikan terdapat masalah industri halal Malaysia termasuk ketidakjelasan garis panduan halal, kekurangan standard yang efektif dari segi kos, serta kekurangan pemahaman umum tentang amalan halal.

Selain itu, terdapat isu silo antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal yang boleh mengakibatkan ketidakcekapan dan ketidakseragaman dalam pelaksanaan standard dan amalan halal.

Masalah seterusnya termasuklah penurunan nilai eksport halal yang tidak dijangka, ketidakpastian ekonomi serta kekurangan kemampuan pengeluar tempatan untuk memenuhi permintaan global.

Untuk mengatasinya, kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan badan berwajib di negara-negara jiran seperti Indonesia untuk memperbaiki tadbir urus dan menjalin usaha sama untuk membangunkan industri halal secara bersama-sama.

Selain itu, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan skala pengeluaran produk halal tempatan, mempercepat proses kelulusan pensijilan halal serta memanfaatkan teknologi maklumat untuk mempersiapkan syarikat tempatan dalam proses kelulusan.

Dengan kerjasama dan usaha bersama, industri halal di Malaysia memiliki masa depan yang cerah dan potensi untuk terus berkembang.

Pelan Besar Industri Halal 2030 (HIMP 2030) bertujuan untuk menyumbang 8.1 peratus kepada KDNK menjelang 2030.

Melalui inisiatif strategik dan digitalisasi, industri halal dapat mempersiapkan syarikat tempatan untuk memasuki pasaran global dengan lebih efisien.-UTUSAN

NURFAJRINA FAKHIRA ABDUL RAHIM dan DR. JAHARUDIN PADLI
Universiti Malaysia Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN