Hargai tokoh Islah Agung demi martabat Islam

Hargai tokoh Islah Agung demi martabat Islam

AL-SYEIKH MUHAMMAD ABDUH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Berdasarkan Hadis Nabi Muhammad SAW, pada setiap kurun 100 tahun akan munculnya mujaddid yang membawa pemikiran ataupun metod baharu dalam Islam di samping memperbaiki kerosakan yang terjadi terhadap umat keseluruhannya.

Salah seorang tokoh Islam yang agung adalah Al-Syeikh Muhammad Abduh atau nama sebenarnya Muhammad Abduh.

Beliau dikenali sebagai tokoh islah agung atas sumbangan terhadap Islam. Beliau sangat terkenal dengan keperibadian yang berani, khususnya dalam menyatakan idea-idea islahnya walaupun terpaksa berhadapan dengan pancaroba yang besar. Walaupun demikian, beliau juga seorang yang tegas dan penyayang kepada anak-anak muridnya sehingga menubuhkan al-Jamaiah al-Khairiah al-Islamiah khusus untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah kewangan.

Terdapat pelbagai aliran pemikiran atau idea islah yang dibawa beliau, khususnya dalam bidang akidah, integrasi ilmu serta kecekapan pentadbiran. Misalnya, menyeru umat Islam supaya kembali kepada ajaran Islam dalam bentuknya yang asli serta menyesuaikannya dengan kehendak zaman, selagi mana tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.

Beliau menyarankan supaya bidang ilmu fardhu kifayah seperti sains, matematik, falsafah dan geografi dimasukkan dalam kurikulum sekolah mahupun universiti kerana berpendapat pendidikan pada masa itu hanya tertumpu kepada bidang agama semata-mata.

Islah beliau diterima baik oleh kerajaan Mesir. Sukatan pengajian di Universiti al-Azhar diubah selaras dengan saranan beliau dan perubahan tersebut telah dijadikan model kepada pusat-pusat pengajian tinggi lain di seluruh dunia Islam.

Kita sewajarnya menghargai serta mendalami akan ilmu berkaitan islah dan tajdid agar dapat melahirkan bangsa yang mempunyai pemikiran yang tinggi serta membangunkan ummah.-UTUSAN

NURUL ATIQAH ILYANI MOHAMAD TAN DAN PROFESOR DR. MOHD ROSLAN MOHD NOR
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×