SAUDARA PENGARANG,
TRADISI hari raya kini kian luntur dihakis peralihan zaman yang menyebabkan generasi Z cenderung kurang menghargainya.
Dalam era digital dan kehidupan yang semakin sibuk, generasi Z sering kali terlalu terperangkap dalam dunia maya yang terasing dari realiti kekeluargaan. Justeru itu, dengan menghargai tradisi berkumpul di hari raya bersama-sama sanak saudara ini, generasi Z dapat menggunakan sambutan ini sebagai peluang untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dengan adik-beradik, sepupu sepapat, datuk nenek dan sanak saudara yang jauh di perantauan.
Selain itu, tradisi hari raya juga mengajar nilai-nilai penting dalam kehidupan seperti kesyukuran, keikhlasan dan kebajikan. Ketika kita berkumpul bersama keluarga dan sahabat serta menikmati juadah yang lazat, kita diajar untuk menghargai nikmat dengan penuh kesyukuran. Tradisi saling berkongsi juadah hari raya juga memperlihatkan erti kesyukuran dengan menghargai nikmat yang diberikan dan keberkatan dari usaha bersama.
Pada zaman kini, kehadiran kuih-kuih tradisional semakin berkurangan di meja makan semasa sambutan hari raya. Ini mungkin disebabkan oleh arus globalisasi yang membawa masuk kepelbagaian makanan baharu serta perubahan gaya hidup yang lebih sibuk.
Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya mengabaikan nilai dan signifikan kuih raya tradisional. Setiap jenis kuih raya mempunyai cerita tersendiri dan merupakan lambang kekayaan budaya dan warisan nenek moyang. Kuih-kuih raya tradisional bukan sekadar hidangan lazat yang disantap semasa perayaan, tetapi juga satu bentuk keindahan seni kulinari yang perlu dihargai dan dipelihara.
Bukan itu sahaja, kuih-kuih tradisional ini juga dapat memupuk rasa kebersamaan dan kekeluargaan semasa menyediakan serta berkongsi kuih-kuih tersebut semasa hari raya. Justeru, penting untuk generasi Z memahami dan mengekalkan tradisi kuih raya tradisional disamping dapat meneruskan warisan budaya yang telah diwarisi dari generasi ke generasi agar tidak luput.
Tradisi ziarah menziarahi dalam kalangan generasi Z semakin terabai. Ziarah menziarahi bukan sekadar suatu perbuatan tetapi ia mencerminkan nilai-nilai kesopanan, kebersamaan, dan kasih sayang yang mendalam dalam budaya kita.
Sejak kemunculan gajet dan teknologi, interaksi secara fizikal kian luput dan tergantikan dengan komunikasi digital. Pesanan ucapan hari raya lebih banyak disampaikan melalui mesej teks atau media sosial dan pertemuan wajah ke wajah semakin jarang berlaku.
Dengan memelihara dan meneruskan tradisi ini, mereka dapat membawa kehidupan dan nilai-nilai warisan budaya ke zaman moden serta menyemai rasa kebersamaan, kekeluargaan dan kebahagiaan dalam masyarakat.-UTUSAN
PROFESOR. MADYA DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR dan SITI NURMALIYA ZAKARIA
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya










