Usah abai rawatan penyakit ekzema

Usah abai rawatan penyakit ekzema

PADA mulanya hanya sekadar gatal biasa tetapi jika dibiarkan tidak dirawat boleh membawa kepada padah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ADA segelintir ibu bapa yang tidak tahu tentang penyakit ekzema dan hanya menganggap penyakit ini hanyalah perkara biasa.

Apabila anak-anak mengadu gatal, mereka hanya mengatakan bahawa itu hanya sekadar gatal-gatal biasa. Walhal, sekiranya dibiarkan berlarutan dan tidak dicegah dengan lebih awal, akan membawa kemudaratan kepada anak-anak tersebut.

Walapun penyakit ini tidak boleh berjangkit, tetapi sekiranya anak-anak menggaru kawasan kulit mereka yang gatal secara kerap, secara tidak langsung kulit mereka akan berdarah dan lapisan kulit yang pada asalnya melindungi kulit sudah terbuka dan terdedah kepada persekitaran luar.

Ini boleh menyebabkan jangkitan kuman di kawasan kulit tersebut dan merebak ke kawasan kulit yang lain seperti kaki, tangan, muka dan sebagainya.

Dalam jangka panjang, sekiranya ekzema tidak dirawat dengan lebih awal dan sudah menjadi lebih teruk, ini boleh membawa kepada komplikasi penyakit kronik yang lain seperti kanser kulit, dermatomyositis (otot lemah), osteoarthritisn (radang sendi) dan lelah.

Kajian menunjukkan 20 peratus kanak-kanak yang menghidap ekzema biasa akan menghidap lelah dan 60 peratus kanak-kanak yang menghidap ekzema yang sangat teruk berkemungkinan menghidap lelah.

Ekzema bukanlah sekadar penyakit yang biasa yang boleh diabaikan begitu sahaja. Memang pada mulanya, hanya sekadar gatal biasa tetapi jika dibiarkan tidak dirawat boleh membawa kepada padah.

Kesannya bukan sahaja kepada penghidap, orang sekeliling juga akan terasa kesannya, ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.

Tambahan pula, disebabkan ekzema kerap berlaku dalam kalangan bayi dan kanakkanak, ibu bapa perlu ambil cakna dan peka terhadap kesihatan anak.

Jika terdapat perubahan kepada keadaan kulit anak seperti tanda kerengsaan kulit atau kulit kering, bergegaslah untuk mendapatkan rawatan kerana setiap anak perlu dijaga dengan baik sepanjang masa. – UTUSAN

NUR AMERRAH SUHAIMI
Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN