SAUDARA PENGARANG,
BUDAYA membaca merupakan salah satu aspek penting dalam pembangunan pelajar di sekolah. Untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar, langkah-langkah yang berkesan perlu diambil oleh sekolah.
Perpustakaan yang canggih, aktiviti membaca secara berkumpulan dan pertandingan membaca dapat memberi dorongan kepada pelajar untuk menyukai dan menghayati dunia ilmu pengetahuan melalui pembacaan.
Mewujudkan program membaca di dalam kelas secara tetap dapat meningkatkan minat serta memperkukuhkan kemahiran membaca pelajar.
Penting juga untuk mewujudkan program membaca di luar kelas yang bertujuan untuk menggalakkan pelajar membaca di luar waktu persekolahan. Ini boleh dilakukan dengan menyediakan ruang bacaan yang selesa di perpustakaan sekolah atau sudut bacaan yang menarik.
Selain itu, program mentor membaca adalah inisiatif yang membolehkan pelajar yang mahir membaca menjadi mentor kepada rakan-rakan yang memerlukan bimbingan. Melalui inisiatif ini, pelajar dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman, membantu meningkatkan prestasi akademik serta minat membaca.
Program Nilam sedia ada perlu diteruskan dengan menganjurkan pertandingan membaca bagi pelajar yang mencapai jumlah bacaan tertentu dalam tempoh yang ditetapkan. Hadiah menarik disediakan sebagai dorongan.
Di samping itu Program Pencinta Buku Berkumpulan adalah inisiatif yang menyediakan kelas khas secara kumpulan kecil untuk membaca bersama-sama. Ini membolehkan mereka berkongsi pandangan dan pengetahuan tentang bahan bacaan. Melalui interaksi ini, pelajar dapat memperluaskan pemahaman mereka tentang buku yang dibaca serta meningkatkan kemahiran membaca dan analitikal. Program ini mendorong pembelajaran kolaboratif dan pertukaran idea dalam kalangan pelajar.
Program Bacaan Bertema pula merupakan inisiatif yang boleh diadakan secara bulanan atau mingguan. Pelajar akan diberi bahan bacaan berkaitan dengan topik tertentu seperti sains, sejarah, atau fiksyen. Selain itu beberapa cara lain juga boleh dipertimbangkan bersesuai dengan umur pelajar.
Kesimpulannya, melalui pelaksanaan program-program ini secara sistematik dan berterusan, dijangka dapat memastikan pembangunan pendidikan yang holistik dalam kalangan generasi muda.
Dengan demikian, mereka akan menjadi pembaca yang cemerlang dan pemikir yang kreatif dalam masyarakat yang semakin kompleks ini.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan









