SAUDARA PENGARANG,
DALAM konteks pendidikan formal, pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan kumpulan sasaran yang strategik untuk disemai semangat keusahawanan. Kaedah ini bukan hanya membentuk individu yang berpotensi menjadi usahawan berjaya, tetapi juga memperkukuhkan ekosistem keusahawanan negara.
Di peringkat sekolah rendah, langkah pertama untuk menanam budaya keusahawanan adalah melalui program pembelajaran yang menggalakkan kreativiti, inovasi dan kepimpinan.
Aktiviti seperti permainan peranan keusahawanan, pertandingan inovasi dan projek-projek kecil yang melibatkan pengurusan kewangan sederhana boleh dimasukkan ke dalam kurikulum untuk membentuk asas keusahawanan yang kukuh.
Pada peringkat sekolah menengah, program keusahawanan harus diperluas dengan penekanan kepada pembangunan kemahiran praktikal seperti perancangan perniagaan, pemasaran dan pengurusan operasi. Selain daripada itu, peluang untuk melibatkan pelajar dalam aktiviti luar kurikulum seperti pertandingan perniagaan sekolah dan lawatan keusahawanan kepada industri setempat perlu diberi penekanan.
Apabila pelajar melangkah ke peringkat IPT, pendekatan keusahawanan harus lebih progresif dengan menyediakan program-program pembangunan keusahawanan yang menyeluruh.
Penglibatan dalam usahasama universiti-industri, kursus keusahawanan praktikal dan akses kepada rangkaian usahawan yang berjaya adalah antara elemen penting yang boleh membentuk generasi usahawan masa depan.
Diharapkan pelajar dapat memperoleh pengetahuan, kemahiran, dan sikap yang diperlukan untuk menjadi usahawan berjaya melalui pendidikan yang berterusan dan holistik dalam bidang keusahawanan.
Dengan demikian, apabila tamat pengajian, mereka mempunyai daya saing yang tinggi dalam pasaran kerja atau mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri dengan menubuhkan perniagaan sendiri.
Oleh itu, memperkukuhkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar bukan hanya merupakan tanggungjawab pendidik dan pentadbir tetapi juga satu langkah strategik dalam memperkasa ekonomi negara.
Melalui usaha bersama dari pelbagai pihak, kita mampu melahirkan generasi muda yang tidak hanya berpotensi menjadi pekerja cemerlang tetapi juga pencipta peluang dan peneraju dalam bidang keusahawanan untuk masa depan yang lebih cerah.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Konsultan Program Sekolah Irfan Yayasan Pahang










