Lanjut sekolah menengah agama hingga 6 tahun

Lanjut sekolah menengah agama hingga 6 tahun

DENGAN melanjutkan tempoh pembelajaran dapat mengurangkan tekanan dan memberi pelajar lebih banyak masa untuk menyerap maklumat dengan lebih efektif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TEMPOH pembelajaran di sekolah menengah agama seharusnya dilanjutkan kepada enam tahun bagi memberi tumpuan kepada pembelajaran agama sepanjang tempoh ini, sambil memberi peluang yang mencukupi untuk pembelajaran subjek asas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun kelima dan keenam.

Semasa di tingkatan empat, adalah penting bagi pelajar untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran subjek agama. Ini adalah tempoh penting dalam perkembangan rohani dengan asas keimanan dan pemahaman agama harus ditanamkan dengan kukuh.

Dengan memberi lebih banyak masa untuk pembelajaran agama pada tahap ini, kita memberi peluang kepada pelajar untuk memahami nilai-nilai agama secara mendalam yang akan membentuk asas kukuh bagi kehidupan pelajar pada masa hadapan.

Apabila melanjutkan tempoh pembelajaran, kita dapat mengurangkan tekanan pelajar dan memberi mereka lebih banyak masa untuk menyerap maklumat dengan lebih efektif.

Selain itu, ia juga dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan agama dan akademik.

Dengan memberi lebih banyak masa untuk pembelajaran, guru dan pelajar akan memiliki lebih banyak masa untuk menyelami serta memahami isu-isu agama juga akademik dengan lebih mendalam. Ini akan membantu meningkatkan pemahaman dan kecekapan pelajar dalam kedua-dua bidang ini.

Kita juga perlu mengelakkan daripada tergesa-gesa dalam proses pembelajaran. Dengan melanjutkan tempoh pembelajaran kepada enam tahun, kita memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari dengan lebih menyeluruh dan tidak membebankan.

Ini akan membantu meningkatkan minat pelajar dalam pembelajaran dan seterusnya meningkatkan kualiti keluaran sekolah menengah agama.-UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN