SAUDARA PENGARANG,
ISTILAH kontrak psikologi merujuk kepada perjanjian tidak bertulis antara pekerja dan majikan yang menerangkan komitmen, jangkaan dan tanggungjawab antara majikan dan pekerja.
Pekerja akan bekerja keras, memberikan kesetiaan, ketaatan, masa dan tenaga sebagai pertukaran untuk keselamatan dalam pekerjaan, kenaikan pangkat, kenaikan gaji, peluang untuk meningkatkan kompetensi, keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan serta beberapa ganjaran lain yang diberikan oleh majikan.
Kajian menunjukkan kontrak psikologi mampu mendorong pekerja untuk menjadi lebih bermotivasi dan meningkatkan imej majikan pada kaca mata pekerja.
Kontrak psikologi tidak sama untuk setiap pekerja dalam organisasi kerana ia berdasarkan persepsi. Ia juga merupakan satu hubungan unik antara pekerja dan majikan yang berkembang dari semasa ke semasa.
Kontrak psikologi membantu mewujudkan kepercayaan dan komitmen antara majikan dan pekerja. Kedua-duanya akan memahami dengan jelas apa yang diharapkan daripada mereka di tempat kerja.
Untuk membantu membina kontrak psikologi yang kukuh, maka ketua atau pengurus yang mewakili majikan perlu jelas tentang jangkaan mereka terhadap prestasi pekerja.
Pekerja pula perlu mempunyai pemahaman yang jelas tentang peranan dan fungsi mereka dalam organisasi.
Selain itu, kontrak psikologi juga dibina melalui rasa percaya, hormat dan setia yang bersifat timbal balas antara majikan dan pekerja.
Pelanggaran kontrak psikologi akan berlaku apabila terdapat pihak sama ada pekerja atau majikan yang gagal memenuhi tanggungjawab dan janjinya. Jika majikan melanggar kontrak psikologi maka ia akan memberi kesan negatif kepada emosi, mengurangkan semangat, prestasi dan komitmen pekerja terganggu terhadap organisasi dan akhirnya akan meninggalkan organisasi tersebut.
Pelanggaran kontrak psikologi juga akan berlaku jika organisasi kerap melakukan penstrukturan semula atau mengecilkan saiz.
Dalam konteks Perkhidmatan Awam, kontrak psikologi ini akan dapat dibina melalui pelaksanaan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) yang kerap.
Pelaksanaan MBJ akan dapat mewujudkan hubungan dan sikap yang positif, kepuasan hati, peningkatan daya pengeluaran, peningkatan kualiti kerja, penjimatan kos, mewujudkan sikap hormat menghormati antara pihak pengurusan dan pihak pekerja.-UTUSAN
DR. AHMAD BADRUDDIN ABDULLAH
Perunding Latihan Kanan,
Pusat Penyelidikan dan Konsultasi
INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur










