Budaya kebersihan tanggungjawab kontraktor

Budaya kebersihan tanggungjawab kontraktor

KONTRAKTOR pembersihan di sekolah-sekolah, perlu memastikan bahawa persekitaran sekolah, khususnya tandas bersih dan tidak berbau busuk. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KONTRAKTOR pembersihan di sekolah-sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melahirkan generasi yang cintakan kebersihan melalui kerja-kerja pembersihan yang dijalankan.

Generasi yang bencikan kekotoran dan pencemaran alam sekitar. Apa yang dilihat dan dialami oleh murid-murid ini dari sekolah rendah hingga ke universiti, akan menjadi sebahagian pengalaman dan pengajaran tentang kehidupan. Ia akan membentuk persepsi mereka, khususnya tentang kebersihan.

Sekiranya dari sekolah rendah mereka melihat dan mengalami keadaan tandas yang kotor dan berbau, masuk sekolah menengah, keadaan yang sama dan seterusnya di pusat pengajian dan di universiti, tertanam dalam fikiran mereka, tandas semestinya kotor dan berbau. Kalau tandas bersih dan berbau wangi, ia tidak dipanggil tandas, ia bilik rehat.

Oleh kerana itu kontraktor pembersihan di sekolah-sekolah, perlu memastikan bahawa persekitaran sekolah, khususnya tandas bersih dan tidak berbau busuk. Imej bersih inilah yang perlu ditanam dalam kalangan murid-murid dari sekolah rendah lagi. Bahkan menjadi sebahagian tugas pengawas sekolah-sekolah untuk memastikan tidak ada yang membuang sampah merata-rata.

Sebagai kontraktor pembersihan, kita membersih bukan semata-mata kerana kita dibayar untuk membersih, tetapi kerana amanah dan tanggungjawab yang dipikul sebagai kontraktor pembersihan, khususnya di sekolah-sekolah. Naluri mementingkan kebersihan bermula dari situ.

Tidak hairanlah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengusulkan supaya murid-murid sekolah dididik untuk membersih tandas, supaya mereka menghargai kebersihan dan menghormati pekerja-pekerja yang membersihkannya.

Sekiranya ada usaha untuk mengadakan kempen tandas bersih, di mana murid-murid bersaing untuk membersih dan menghiaskan tandas, kontraktor seharusnya memberikan kerjasama dan sokongan. Kontraktor boleh menyediakan bahan, perkakas dan peralatan yang diperlukan di samping mengajar dan membimbing murid-murid cara mencuci tandas yang betul dan berkesan.

Menjaga kebersihan secara tidak langsung berkait dengan menjaga kebajikan pekerja-pekerja kontraktor. Pekerja-pekerja inilah yang akan memastikan persekitaran sekolah bebas dari sampah sarap dan kotoran dan bilik-bilik air bersih dan tidak berbau busuk.

Sekiranya mereka dibayar gaji dengan betul, dicarum dan hak cuti tahun dan cuti sakit dan cuti bersalin bergaji disediakan, mereka akan bekerja dengan gigih dengan muka yang manis. Imej pekerja-pekerja ini juga akan memberi impak kepada murid-murid sekolah.

Pengalaman yang lepas, apabila banyak kontraktor menghadapi berbagai masalah disebabkan harga kontrak yang rendah seharusnya menjadi pengajaran kepada kontraktor untuk tidak menawarkan harga yang tidak munasabah semata-mata untuk mendapatkan kontrak. Di pihak kementerian, peruntukan yang disediakan harus berbaloi dengan beban kerja yang dipikul dan kontraktor mampu memberikan perkhidmatan yang berkualiti.

Kontraktor harus melihat bidang pembersihan sebagai satu profesion bukan semata-mata satu perniagaan. Kita perlu menghormati profesion kita dan lebih bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul, supaya pelanggan dan orang ramai menghormati kita sebagai penyedia perkhidmatan pembersihan profesional.

Jika pelanggan menghormati kerjaya kita sebagai penyedia perkhidmatan pembersihan profesional, insya-Allah bayaran yang diterima setimpal dengan tanggungjawab yang dipikul. – UTUSAN

NORUDDIN IDRIS
Presiden Persatuan Pengurusan
Pencucian Malaysia (MACM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×