Ambil langkah berkesan tangani kejatuhan ringgit

Ambil langkah berkesan tangani kejatuhan ringgit

ringgit
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Jika masih ingat, ringgit pernah berada pada paras bawah RM4 terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) sebelum merosot pada RM4.0395 pada 12 Ogos 2015. Sejak itu, Malaysia semakin lemah dan kekal berada di atas RM4 merosot pada RM4.7845 terhadap dolar AS pada 19 Februari lalu. Ia dijangka akan mencapai RM5 pada tahun hadapan sekiranya tiada campur tangan dari kerajaan untuk menangani masalah penurunan ini.

Sesetengah ahli ekonomi berpendapat lemahnya nilai ringgit membawa kesan positif kepada ekonomi kerana eksport akan menjadi lebih kompetitif dalam pasaran antarabangsa dan eksport Malaysia akan meningkat. Kesannya, ekonomi akan meningkat akibat peningkatan eksport dan banyak peluang pekerjaan akan tercipta.

Namun, adakah hal ini akan berlaku atau hanya teori semata-mata? Oleh itu, sesetengah ekonomi lain tidak bersetuju dan menyatakan bahawa hasil eksport akan jatuh akibat penurunan nilai mata wang, yang akan memberi impak buruk kepada ekonomi.

Inflasi diimport akan berlaku akibat peningkatan kos input yang diimport seperti makanan dan minyak. Ini akan mengakibatkan penurunan penawaran barang-barang tempatan yang terlalu bergantung kepada input diimport.

Tambahan pula, gaji purata bagi tahun hadapan dijangka meningkat dan ini mungkin memburukkan lagi inflasi.

Punca kepada kejatuhan ringgit adalah disebabkan sama ada penurunan permintaan atau peningkatan penawaran ringgit atau kedua-duanya berlaku secara serentak dalam pasaran. Selepas berlakunya peningkatan kadar bunga di AS, pelabur asing lebih berminat untuk melabur di AS dan hal ini menyebabkan peningkatan nilai dolar dan pada masa yang sama nilai ringgit melemah. Hal ini adalah kerana berlakunya peningkatan permintaan terhadap dolar.

Melihat kepada situasi ini, adakah Malaysia perlu mengikut jejak AS dengan meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk meningkatkan lagi kompetitif pasaran pelaburan asing yang akhirnya menyebabkan permintaan ringgit meningkat?

Ia tidak semudah itu kerana peningkatan OPR akan memberi impak buruk terhadap perbelanjaan pengguna dan perkembangan firma. Hal ini menyebabkan Bank Negara sukar untuk membuat keputusan sama ada perlu meningkatkan OPR atau tidak.

Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah segera dan berkesan dalam menangani masalah ringgit yang terus merosot pada paras RM5 terhadap dolar. Keadaan politik juga perlu sentiasa berada dalam keadaan stabil bagi memastikan pelabur asing yakin untuk melabur di Malaysia, yang akan meningkatkan nilai ringgit. – UTUSAN

PROFESOR MADYA
DR. MOHD. SHAHIDAN SHAARI
Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN