SAUDARA PENGARANG,
SEMPENA Tahun Melawat Perak 2024, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan Negeri Perak pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad atas inisiatif-inisiatif strategik yang digerakkan termasuk untuk mencari pendapatan baharu bagi memajukan negeri Perak.
Kerajaan Negeri Perak menyasarkan kedatangan seramai lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong asing.
Menariknya Perak mengekalkan adat, manusiawi rakyat berbudaya tinggi serta mempertaruhkan pelbagai jenis makanan tempatan. Indikator ini amat baik untuk industri hiliran pelancongan.
Saya mencadangkan kepada kerajaan negeri agar memperkasakan kualiti muzium-muzium yang terdapat di negeri ini seiring kemajuan dunia seperti di Museum of Science and Industry, Manchester dan The Miraikan National Museum of Emerging Science and Innovation, Tokyo. Muzium-muzium tersebut memanfaatkan teknologi seperti realiti terimbuh serta realiti maya untuk mencipta pengalaman pendidikan yang menyeluruh kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Dicadangkan juga kepada pihak muzium negeri memperkenal pameran interaktif, paparan skrin sentuh untuk menarik perhatian pengunjung dan menawarkan persekitaran pembelajaran yang dominan, selanjutnya memperkenal persembahan multimedia, paparan video dan bunyi-bunyian untuk meningkatkan emosi pengunjung dalam penceritaan serta menjadikan naratif sejarah lebih menarik untuk difahami umum.
Selain itu turut dicadang elemen permainan seperti jelajah pencarian harta dan kuiz supaya pengalaman melawat muzium Perak dan muzium yang ada di negeri ini menjadi lebih menarik dan berinformatif, interaktif terutamanya kepada pengunjung-pengunjung kanak-kanak, remaja dan belia serta pelajar institusi pengajian tinggi.
Exco Pelancongan Negeri memainkan peranan penting dalam mengemudi Perak menjadi negeri yang berteknologi dan berinovasi tinggi untuk memaju dan memoden sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan baharu kerajaan negeri.
Kerjasama dengan pakar teknologi dan melabur dalam kaedah pameran moden, bukan sahaja akan menarik pengunjung atau demografi yang lebih luas, tetapi juga memberi sumbangan besar kepada penjanaan ekonomi tempatan.
Sememangnya suatu cabaran untuk mengajak orang ke muzium kembali namun era kegemilangan muzium-muzium di Perak seperti Muzium Ngah Ibrahim di Kuala Sepetang , Muzium Negeri, Muzium Taiping menjadi pusat ilmu dan hiburan yang dinamik serta membuka jalan kepada pengukuhan perpaduan demi masa depan Perak yang sejahtera pada tahun 2030.-UTUSAN
Yosri Abu Mahsin
Ipoh, Perak










