Media lebih efisien jika manfaatkan AI dengan bijak

Media lebih efisien jika manfaatkan AI dengan bijak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM era globalisasi ini, transformasi media menjadi fenomena yang tidak dapat dielakkan dengan kehadiran revolusi kecerdasan buatan (AI). Di Malaysia, peranan AI telah memberikan impak yang ketara dalam mengubah landskap media, membawa kepada penjenamaan semula paradigma penyiaran dan penerimaan maklumat.

Kerajaan memandang serius dalam melaksanakan transformasi digital negara dan ingin memastikan rakyat menyedari sepenuhnya inisiatif berhubung ledakan teknologi ini sekali gus menjadi celik digital serta AI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan sejuta rakyat celik AI hingga hujung tahun ini.

AI telah menggerakkan transformasi digital di Malaysia, membuka pintu kepada kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk komunikasi. Sebagai suatu teknologi yang semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, keupayaan AI dalam komunikasi memberi impak besar dalam membentuk kebudayaan digital di negara kita.

Walau bagaimanapun, terdapat cabaran yang perlu diatasi. Salah satu cabaran utama adalah isu privasi.

Penggunaan teknologi AI dalam pengumpulan dan analisis data mungkin menimbulkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan data peribadi. Inisiatif keselamatan dan perlindungan privasi perlu diterapkan untuk memastikan kepercayaan masyarakat terhadap media digital.

Pentingnya literasi digital juga menjadi aspek kritikal. Masyarakat perlu diberikan pemahaman yang mencukupi tentang cara AI berfungsi, bagaimana data mereka digunakan dan bagaimana menilai kebolehpercayaan maklumat yang disampaikan oleh media digital yang semakin canggih.

Dengan memanfaatkan keupayaan AI secara bijak, media dapat menjadi lebih efisien, relevan dan responsif terhadap keperluan masyarakat.

Pada masa yang sama, perlu ada perhatian kepada aspek etika dan privasi untuk memastikan keberlanjutan dan kepercayaan terhadap media yang terus berkembang di era digital ini.

Pihak berkuasa dan industri juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi AI di Malaysia mematuhi undang-undang dan etika yang sedia ada. Pemahaman dan kesedaran terhadap perkembangan AI perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat agar mereka dapat menyelaraskan diri dengan perubahan dalam cara komunikasi.-UTUSAN

SHAFEZAH ABDUL WAHAB
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×