SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI seorang pegawai badan berkanun Persekutuan, saya merasakan sudah tiba masanya untuk kita semua lebih cakna tentang beberapa perkataan yang terkandung dalam kamus.
Sebenarnya saya merasakan gelaran banduan merupakan satu hukuman yang terlalu berat. Gelaran ini mereka akan bawa sampai mati selain mematikan hasrat mereka untuk berubah menjadi lebih baik sama ada ketika di penjara atau setelah dibebaskan.
Gelaran ini sebenarnya adalah satu ‘hukuman mati’ pada mereka. Waris mereka juga akan terluka sekiranya ahli keluarga mereka digelar banduan.
Mereka juga akan memencilkan diri dari bergaul dengan masyarakat apabila dibebaskan kerana satu gelaran yang mereka bawa hingga ke liang lahat. Jadi saya harap perkataan banduan ‘dihapuskan’ dari kamus bahasa Melayu dan bahasa Malaysia. Panggil mereka seperti mana nama yang diberi ibu dan ayah.
Begitu juga dengan perkataan Mat Pit (penagih dadah) juga harus dihapuskan dari ‘kamus’ bahasa pertuturan kita. Gelaran ini sama juga kesannya seperti banduan.
Perkataan Mat Tiarap (tentera) juga harus dihapuskan dari bahasa pertuturan seharian. Hormatlah sikit pada mereka yang menjaga keselamatan negara.
Begitu juga beberapa perkataan yang dituturkan oleh orang utara Malaysia termasuk untuk merujuk tali barut. Kasar sangat bunyinya. Perkataan itu jika didengar akan mengundang rasa sakit hati kepada orang mengucapkan kalam ini.
Harap rakyat Malaysia lebih perihatin pada gelaran-gelaran yang menjatuhkan air muka seseorang di masa hadapan. Junjungan Mulia Baginda Rasulullah SAW juga melarang kita memanggil seseorang itu dengan nama yang buruk.
Bangsa Melayu dikenali di seluruh dunia sebagai bangsa yang berbudi bahasa sejak zaman Melaka dahulu. Tak akan Melayu hilang di dunia.-UTUSAN
Ibnu Arasy Dzikrullah
Kepala Batas, Pulau Pinang.










