NGO turut terkesan serangan Israel

NGO turut terkesan serangan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) ialah ahli Friends of the Earth International (FoEI) dan kami menyokong Friends of the Earth Asia Pacific sebagai solidariti dengan organisasi kami Palestinian Environmental NGOs Network (PENGON)/Friends of the Earth Palestine.

Mereka telah kehilangan kakitangan, ahli keluarga dan rakan serta pejabat dan rumah kediaman mereka di Gaza dalam masa 10 minggu terakhir ini akibat serangan oleh Israel.

Dengan perasaan berat hati dan kesedihan, kami ingin memaklumkan bahawa serangan udara Israel telah membunuh lima rakan sekerja PENGON daripada Kesatuan Jawatankuasa Kerja Pertanian (UWAC), Jawatankuasa Pertanian Palestin (PARC) dan Pusat Pembangunan Maan.

Ratusan saudara-mara kakitangan PENGON turut terkorban. 80 peratus ahli pasukan PENGON dipindahkan secara paksa. Majoritinya berpindah lebih daripada tiga kali mencari tempat yang selamat.

Malah, tiada tempat selamat untuk berlindung di Gaza. 70 peratus daripada rumah mereka sama ada rosak sebahagian atau musnah sepenuhnya.

Semua pejabat anggota PENGON rosak semasa serangan ini. Akibat kepungan di Gaza, bekalan makanan, air, kebersihan dan perubatan kehabisan.

PENGON, sebagai sebuah institusi, sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan bekalan ini, tetapi kekurangan dan sekatan jalan raya menjadikannya mustahil untuk memudahkan bantuan kemanusiaan segera.

Rakan sekerja kami dan keluarga mereka mengalami masalah kesihatan yang buruk kerana penularan penyakit yang datang daripada mayat yang tidak dikebumikan, pengumpulan sisa dan tiada akses kepada air bersih yang boleh diminum.

Tindakan tentera Israel menyerang tanah dan infrastruktur pertanian serta mencemarkan tanah pertanian menafikan keterjaminan makanan bagi rakyat Gaza, dan merupakan sebahagian daripada penggunaan kelaparan sebagai senjata atau perang, menurut Human Rights Watch.

Terdapat laporan mengenai kemudahan pertanian, kedai roti dan kilang bijirin dimusnahkan. Pengeboman, pemindahan petani dan kekurangan air menjadikan pertanian hampir mustahil; ternakan di seluruh Gaza menghadapi kebuluran dan terpaksa dibunuh, tanaman ditinggalkan.

Serangan darat Israel melibatkan kemusnahan tanah pertanian dan infrastruktur, termasuk kebun dan rumah hijau di Gaza Utara. Selanjutnya, Israel dilaporkan menggunakan fosforus putih, yang berpotensi mencemari tanah untuk tahun-tahun akan datang.

Sektor Keselamatan Makanan Palestin yang diketuai oleh Program Makanan Sedunia (WFP) dan Persatuan Makanan dan Pertanian (FAO) kini melaporkan bahawa lebih satu pertiga daripada tanah pertanian rosak akibat tindakan tentera Israel.

Kerosakan daripada pengeboman dan serangan darat, kejadian banjir baru-baru ini dan terputusnya bekalan air minuman dari Israel menyebabkan kanak-kanak Gaza tidak mempunyai akses kepada 90 peratus daripada penggunaan air biasa mereka.

Dehidrasi dan penyakit bawaan air seperti kolera dan cirit-birit kini mengancam kelangsungan hidup penduduk di seluruh Gaza, khususnya kepada kanak-kanak kerana ia boleh membawa maut.

Friends of Asia Pacific seterusnya menggesa semua kumpulan anggota kami, sekutu, dan orang yang berhati nurani untuk teruskan bersuara untuk rakyat Palestin, di dalam media, melalui tindakan politik dan dengan menggerakkan keahlian mereka.

Terus menuntut gencatan senjata segera, termasuk melobi agensi kerajaan untuk menuntut gencatan senjata melalui PBB.

Menuntut pembukaan sempadan bagi membolehkan sokongan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. Hentikan kepungan
ini sekarang! – UTUSAN

MEENAKSHI RAMAN
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya