Guru terbeban kerja luar bilik darjah

Guru terbeban kerja luar bilik darjah

DI peringkat sekolah, banyak guru terlibat dalam tugas-tugas seperti menjadi guru pusat sumber/perpustakaan, guru data, setiausaha sukan dan guru perabot.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENDIDIKAN merupakan tonggak utama dalam membangunkan sesebuah negara. Peranan guru tidak dapat diabaikan dalam membentuk generasi penerus yang unggul. Sayangnya, dalam tempoh beberapa tahun terakhir, kekurangan guru di sekolah menjadi lebih ketara. Banyak guru terlibat dalam tugas tambahan di luar kelas menyebabkan kekurangan tenaga pengajar di dalam bilik darjah.

Isu ini tidak hanya terbatas kepada peringkat sekolah, malah turut dirasai di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) apabila guru dipilih untuk jawatan bukan pengajaran.

Di peringkat sekolah, banyak guru terlibat dalam tugas-tugas seperti menjadi guru pusat sumber/perpustakaan, guru data, setiausaha sukan dan guru perabot. Ini bukan sahaja menimbulkan bebanan terhadap guru tersebut, tetapi juga kepada guru-guru lain yang perlu menggantikan tugas pengajaran. Keputusan ini menyebabkan pengurangan masa pengajaran, merosakkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Keperluan untuk menggunakan tenaga guru secara cekap adalah penting. Kementerian Pendidikan seharusnya mempertimbangkan pelantikan jawatan khusus seperti pegawai teknologi maklumat (ICT), pegawai pusat sumber dan jurulatih sukan. Dengan cara ini, tugas tambahan guru dapat diuruskan oleh individu yang mahir dalam bidang tersebut tanpa mengganggu tugas utama iaitu mengajar.

Selain itu, pengambilan guru untuk jawatan School Improvement Partner+ (SIP+) dan School Improvement Specialist Coaches+ (SISC+) di peringkat PPD seharusnya dinilai semula. Guru yang dilantik jawatan ini perlu kembali ke bilik darjah untuk melaksanakan tugas pengajaran. Sekiranya perlu berkongsi kepakaran, mereka sepatutnya dibenarkan keluar pada hari-hariy yang tidak mengajar. Ini dapat mengurangkan beban guru lain dan memastikan setiap guru memberi fokus sepenuhnya pada tugas pengajaran.

Wajar juga jika setiap guru diberi masa sekurang-kurangnya satu jam seminggu (diiktiraf  sebagai tugas rasmi) untuk menyediakan bahan pengajaran secara individu, berpasangan atau berkumpulan. Dengan ini, guru akan sentiasa menyampaikan pengajaran berkualiti dan memikat minat pelajar.

Perlu diingat, guru adalah aset berharga dalam sistem pendidikan. Mereka memainkan peranan penting dalam membentuk dan memperhalusi bakat generasi masa depan. Oleh itu, langkah-langkah praktikal seperti pelantikan jawatan khusus untuk tugas tambahan dan mengembalikan guru ke dalam bilik darjah perlu diambil oleh kementerian. Dengan cara ini, pembangunan pendidikan negara dapat bergerak ke arah lebih baik, dengan guru dapat memberikan tumpuan sepenuhnya pada tugas pengajaran mereka.-UTUSAN

 

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN

Tokoh Guru Kebangsaan

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya