Sukar sangatkah gencatan senjata?

Sukar sangatkah gencatan senjata?

ISRAEL dikatakan telah mengambil kesempatan daripada serangan mengejut Hamas untuk meningkatkan lagi aktiviti ketenteraan di Semenanjung Gaza. – X PM ISRAEL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

REJIM Zionis Israel telah melancarkan perang genosid ke atas rakyat Palestin sebagai reaksi terhadap serangan mengejut Operasi Taufan al-Aqsa oleh kumpulan-kumpulan pejuang Palestin yang diterajui Hamas pada 7 Oktober lalu.

Setakat 13 November lalu, dalam tempoh lebih sebulan pembantaian terhadap rakyat Palestin oleh tentera Israel, lebih 11,000 orang warga Palestin di Gaza telah dibunuh, dengan lebih 4,000 orang daripadanya merupakan kanak-kanak, dan angka yang mengerikan ini masih akan meningkat lagi.

Lebih 28,000 orang telah dicederakan, sementara lebih kurang 1.5 juta orang warga Palestin menjadi pelarian dalaman di Semenanjung Gaza.

Sebab itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata pada 6 November lalu bahawa Gaza sedang menjadi “tanah perkuburan untuk kanak-kanak” dan semua pihak harus bertindak sekarang juga untuk mencari jalan keluar daripada kemusnahan yang kejam dengan melaksanakan gencatan senjata dengan segera.

Media arus perdana di peringkat antarabangsa menggelar apa yang sedang berlaku di Palestin sekarang ini sebagai Perang Hamas-Israel, tetapi pada hakikat ia adalah perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin dengan niat melakukan pembersihan kaum untuk mengulangi Nakba (malapetaka) yang pernah berlaku pada rakyat Palestin 75 tahun dahulu.

Peperangan yang berlaku dan penindasan yang berterusan di Semenanjung Gaza sekarang ini, bukannya untuk menewaskan Hamas seperti yang didakwa oleh kerajaan Israel, tetapi sebenarnya untuk menghapuskan bangsa Palestin di wilayah itu.

Penindasan terhadap rakyat Palestin yang berterusan sepanjang 75 yang dahulu dan keengganan golongan pelampau kanan Zionis untuk mewujudkan pendamaian yang sebenar di bumi Palestin, merupakan punca kepada penentangan rakyat Palestin yang berterusan termasuk menggunakan pendekatan perjuangan bersenjata.

Rejim Zionis Israel telah mempergunakan serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu sebagai kesempatan untuk meningkatkan lagi serangan ganasnya terhadap rakyat Palestin. Lebih-lebih lagi, kerajaan Israel pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu juga dapat mempergunakan perang yang dilancarkan ke atas Palestin ini untuk mengalihkan perhatian umum daripada krisis politik dalaman yang sedang menghantuinya dan memperkukuhkan kekuasaannya.

Perhimpunan Rakyat Antarabangsa (IPA) yang mengadakan persidangan peringkat global di Johannesburg, Afrika Selatan pada 14-18 Oktober lalu ingin menyatakan solidaritinya bersama rakyat Palestin.

Negara aparteid Israel dan sekatan yang dikenakan selama 16 tahun ke atas Semenanjung Gaza adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Kami membantah penjenayahan dan penyahmanusiaan terhadap rakyat Palestin dan mempertahankan hak mereka untuk menentang.

IPA juga menuntut supaya ditamatkan segera semua serangan dan mewujudkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza, menamatkan sekatan terhadap wilayah itu, memulangkan semua kawasan itu kepada rakyat Palestin dan ditamatkan pendudukan Israel ke atas Palestin.-UTUSAN

PERHIMPUNAN RAKYAT ANTARABANGSA (IPA)
Johannesburg, Afrika Selatan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya