‘Senjata’ China ampuh kalahkan Israel

‘Senjata’ China ampuh kalahkan Israel

KEBANYAKAN pengguna TikTok mampu mengupas dengan baik sebab di sebalik konflik Israel dan Palestin bermula. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DEWASA ini platform media sosial seperti TikTok boleh memainkan peranan besar dalam mengubah persepsi dunia terhadap sesuatu perkara. Misalnya, dalam konflik antara Palestin dan Israel yang bermula sejak 7 Oktober lalu.

Selama ini rakyat Palestin telah lama menderita ditindas rejim Zionis Israel namun berita tentang mereka hanya bersifat suam-suam kuku dan tidak membekas lama.

Apatah lagi dengan rangkaian berita dan media Barat yang licik dalam memanipulasi pelaporan dan fakta, kita hanya sekadar menjadi pengguna kandungan yang pasif. Namun, tidak untuk kali ini. Sokongan terhadap Palestin yang diterima dari masyarakat antarabangsa sangat luar biasa.

Walaupun media Barat menggunakan naratif yang sama iaitu memfokuskan kepada Hamas sebagai pihak yang memulakan serangan dan meletakkan Israel sebagai mangsa yang perlu melawan untuk membela diri, jalan cerita ini sudah tidak lagi berkesan untuk meredakan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Meninjau kandungan-kandungan yang dimuat naik pengguna internet di platform perkongsian video pendek buatan China, TikTok, satu demi satu omongan kosong Israel dan media Barat yang mendukung mereka dibongkar dan diperlecehkan.

Terkini satu video yang memaparkan seorang jurucakap tentera Israel memberi penerangan dalam menjustifikasi pengeboman ke atas Hospital Kanak-kanak Al-Rantisi di Gaza dijadikan bahan jenaka dalam kalangan pengguna TikTok.

Mengapa tidak? Bahan bukti yang kononnya memaparkan senarai nama pengganas Hamas di dinding ternyata hanyalah sekadar kalendar yang tertera nama-nama hari dalam seminggu dalam tulisan Arab. Lebih memalukan apabila stesen penyiaran antarabangsa, CNN memetik sumber yang sama tanpa usul periksa sehingga mendapat kecaman ramai.

Ketepikan soal kredibiliti mereka yang sudah lama dipertikaikan kerana sering kali bersikap berat sebelah lantaran obsesi mereka terhadap Hamas akhirnya menjerat diri sendiri. Mereka kini tidak ubah seperti kisah budak pengembala biri-biri dengan serigala yang kehilangan kepercayaan orang ramai akibat terlalu sering menipu.

Hasil kepesatan teknologi yang memungkinkan capaian pantas dan meluas internet telah membolehkan pengguna mencipta kandungan mereka sendiri yang pro-Palestin dan melakukan perkongsian merentasi sempadan negara, halangan agama, budaya mahupun bahasa.

Semua manusia yang punya hati dan naluri kemanusiaan secara fitrahnya berkongsi pandangan yang sama iaitu “Anda tidak perlu menjadi Muslim untuk membela Palestin, tetapi anda hanya perlu menjadi manusia”.

Jelas, masyarakat antarabangsa menolak naratif yang disogokkan Israel dan sekutunya dengan menyeru kepada penamatan kempen penghapusan etnik serta-merta. Seluruh dunia bergema dengan demonstrasi dan protes yang menarik ratusan, ribuan malah jutaan manusia memenuhi jalan dan dataran.

Menariknya, reaksi atau ulasan pengguna TikTok dalam kandungan mereka kebanyakannya mampu mengupas dengan baik sebab di sebalik konflik Israel dan Palestin sehingga turut membongkar sejarah asal keturunan Yahudi.

Pendek kata, sokongan yang diberikan adalah berdasarkan pengetahuan dan kefahaman, bukannya membuta tuli. Maka, platform media sosial ini telah menjadi satu medium untuk mendapatkan informasi kerana sifatnya yang ringkas, padat dan mudah untuk dikongsikan.

Dengan kata lain, pengguna sudah tidak peduli dan muak dengan propaganda rangkaian media Barat lalu memilih saluran alternatif bagi mendapatkan maklumat yang lebih telus dan tidak berat sebelah.

Namun begitu, penggunaan platform media sosial sering dipantau dan turut mengundang kontroversi apabila berlaku keadaan di mana kandungan disekat, dilenyapkan dan akaun dipadam. Justeru, cabaran besar ini perlu diatasi.-UTUSAN

ANIRA CHE ANI
Universiti Sultan Azlan Shah (USAS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya