Sampai bila tak fasih bahasa kebangsaan?

Sampai bila tak fasih bahasa kebangsaan?

MASIH terdapat kekurangan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan kaum Cina. – GAMBAR HIASAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG

SEPERTI yang kita tahu, kerajaan menyatakan akan terus mempertahankan hak sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) untuk menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai pengantar pengajaran.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 November lalu menolak rayuan dikemukakan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memohon pengisytiharan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berkenaan adalah tidak berperlembagaan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim selepas menolak rayuan empat NGO iaitu Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru).

Defendan dalam kes ini ialah kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan dan 11 lagi pihak antaranya Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil dan parti-parti politik seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Ini selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang memutuskan kewujudan SJKC dan SJKT tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali ketika membaca penghakimannya berkata, tidak dinafikan Akta Pendidikan 1996 telah mengiktiraf kewujudan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah vernakular telah menjadi sebahagian dalam sistem pendidikan negara.

Malah penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah-sekolah tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan mahupun membelakangi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu juga tidak bertentangan dengan Perlembagaan kerana sekolah vernakular bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa awam yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan. SJKC dan SJKT juga tidak boleh dianggap sebagai institusi pendidikan awam yang tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Pada ketika ini terdapat lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan di seluruh negara merangkumi lebih 500,000 pelajar pelbagai kaum.

Menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan tetapi penggunaan pengajaran dan pembelajaran bahasa lain juga dibenarkan dalam urusan bukan rasmi.

Oleh itu, semua pihak harus menghormati pengisytiharan Mahkamah Rayuan menyatakan SJKC dan SJKT bukannya badan rasmi. Oleh itu, kedua-dua jenis sekolah itu dibenarkan menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil sebagai pengantarnya.

Peranan MCA ialah mewakili kaum Cina, MIC pula mewakili kaum India dan UMNO mewakili kaum Melayu.

Ketiga-tiga parti tersebut memainkan peranan penting dalam proses memerdekakan negara kita serta terlibat dalam proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh demikian, aspirasi ketiga-tiga parti ini terpapar dalam perkara-perkara yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan menjamin hak dan kepentingan semua kaum.

Ini termasuk keistimewaan bagi kaum Melayu dan bumiputera, kebebasan beragama bagi bukan Muslim untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Tuntasnya, kesahan bagi SJKC dan SJKT memang tidak dapat dinafikan.Tetapi pada masa sama, bukan Melayu juga perlulah mengambil berat dengan pembelajaran bahasa kebangsaan khususnya kaum Cina.-UTUSAN

TEO WEI HONG
Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya