Pengundi ikut kaum tidak boleh lebih 60 peratus

Pengundi ikut kaum tidak boleh lebih 60 peratus

BANTUAN kerajaan kepada pesawah di setiap negeri perlu diteruskan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PILIHAN raya negeri (PRN) bagi enam negeri telah selesai berlangsung pada 12 Ogos lalu.

Tanpa mengira bagaimana pihak luar mentafsir keputusan PRN itu, sekiranya kita mengharapkan politik negara ini menuju ke arah kesederhanaan, harmoni dan matang, maka kerajaan perpaduan perlu mengambil langkah progresif untuk mengukuhkan sokongan pengundi Melayu.

Pertama, bantuan kepada pesawah, penoreh getah atau rakyat yang terlibat dalam sektor pertanian di setiap negeri perlu diteruskan. Sokongan kewangan kepada kerajaan negeri yang banyak terlibat dalam aktiviti pertanian juga perlu dilaksanakan sepenuhnya.

Sesetengah pihak melihat ini sebagai usaha populis untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu. Namun, saya berpandangan, langkah itu perlu dibuat bagi membolehkan kerajaan perpaduan mendapat sokongan sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi Melayu dalam jangka masa panjang.

Justeru, ia perlu menyusun langkah bagi memastikan orang Melayu yang menerima manfaat ini adalah peniaga kecil dan pengundi dari kelas menengah bawah yang terlibat dalam sektor pertanian.

Berkenaan kenaikan gaji untuk penjawat awam dan anggota tentera serta polis pula, saya berpendapat perhatian harus diberi kepada kakitangan di peringkat terendah tertakluk kepada kedudukan semasa kewangan Kerajaan Persekutuan.
Kedua, kerajaan perpaduan perlu segera menubuhkan Pusat Khidmat Penyelaras bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang kalah dalam pilihan raya.

Saya mengambil DUN Sijangkang di Selangor sebagai contoh. Sejak pilihan raya umum pada 2018, penyelaras untuk DUN Sijangkang diwakili mereka dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (2018-2020), PKR (2020-2021) dan Parti Amanah Negara (2021-2023).

Namun, selepas penubuhan kerajaan perpaduan, wakil UMNO menjadi calon dalam PRN dengan tempoh persiapan terlalu singkat untuk memenangi kerusi ini. Sememangnya ini bukan caranya jika kerajaan perpaduan ingin mengecapi kejayaan lebih besar.

Ketiga, kerajaan perpaduan perlu mula melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan adil dan baik dengan mematuhi beberapa prinsip.

Ini termasuk memastikan peratusan pengundi setiap kaum untuk kebanyakan kerusi tidak melebihi 60 peratus. Hanya dengan cara ini, ahli politik dan parti politik cenderung ke arah politik lebih progresif dan sederhana.

Keempat, kerajaan negeri serta kerajaan perpaduan perlu menghadap dan berbincang dengan raja-raja Melayu untuk menggubal atau meminda undang-undang bagi melarang ahli-ahli parti politik daripada memegang jawatan walaupun ahli jawatankuasa (AJK) di mana-mana institusi agama, sekolah, persatuan penduduk dan sebagainya.

Kelima, kerajaan perpaduan perlu memperketatkan peraturan dan pekeliling perkhidmatan sedia ada di mana jawatan tetap dalam perkhidmatan awam tidak boleh dianggotai oleh ahli-ahli parti politik supaya perkhidmatan awam kekal neutral, bebas dan tidak dipengaruhi oleh agenda politik.

Semoga kelima-lima cadangan di atas boleh dilaksanakan secepat mungkin agar politik di Malaysia bertukar menjadi lebih maju, madani dan progresif.-UTUSAN

LAU WENG SAN
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya