Mana suara mahasiswa ketika Gaza dibantai? - Utusan Malaysia

Mana suara mahasiswa ketika Gaza dibantai?

PEMIMPIN mahasiswa tidak harus bersikap duduk menunggu arahan sahaja tanpa memikirkan jalan alternatif untuk meneruskan perhimpunan solidariti menyokong rakyat Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK tercetusnya perang susulan serang balas Hamas terhadap kekejaman Israel selama 75 tahun pada 7 Oktober lalu masih belum banyak persatuan atau majlis perwakilan mahasiswa yang bersuara.

Tidak kedengaran pemimpin mahasiswa menyatakan pendirian secara terbuka menyokong pembebasan Palestin dan bersolidariti dengan rakyat dan pejuang pembebasan di Semenanjung Gaza.

Selain itu, rancangan mahasiswa di beberapa universiti awam dan swasta untuk mengadakan perhimpunan dan solidariti terhadap penduduk Palestin baru-baru ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya atas faktor-faktor tertentu yang tidak dijelaskan.

Bagi saya pemimpin mahasiswa tidak harus bersikap duduk menunggu arahan sahaja tanpa memikirkan jalan alternatif untuk meneruskan perhimpunan solidariti dan menyampaikan naratif pembebasan Palestin kepada masyarakat Malaysia dan dunia.

Jika dikatakan wujud halangan dari pihak atasan, ia sudah pasti tidak benar kerana Kementerian Pendidikan Tinggi telah menyerahkan kepada pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menentukan cara menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi ketika ini asalkan mengikut garis panduan ditetapkan universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sendiri telah menyebut bahawa universiti bukan sekolah yang disediakan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi sebaliknya IPT boleh menunjukkan solidariti dengan cara masing-masing.

Oleh itu, mahasiswa seharusnya sedar mereka bukan pelajar sekolah yang datang ke universiti hanya untuk pergi dan balik kuliah sahaja. Mahasiswa ialah individu terpelajar yang mempunyai ilmu untuk menilai dan membuat keputusan tentang sesuatu isu yang berlaku di sekeliling mereka. Mahasiswa bijak terutama yang beragama Islam perlu menjadikan isu pembebasan Palestin sebagai satu agenda kehidupan mereka.

Walaupun mahasiswa di Malaysia tidak merasai kesukaran, kesedihan dan kesengsaraan rakyat Palestin secara langsung ketika ini, mereka tetap tidak boleh menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak berjuang membebaskan Palestin daripada penjajahan.

Bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, gerakan mahasiswa layak menjadi jurubicara rakyat sekiranya mereka mengetahui dan menguasai sesuatu isu dengan mendalam. Maka, setiap mahasiswa seharusnya menjadi jurucakap bagi masyarakat Palestin yang telah ditindas dan dibunuh tanpa belas kasihan.

Dengan segala akses maklumat yang ada, tiada alasan untuk mahasiswa membisukan diri atau memejam mata tentang pembebasan Palestin. Dalam setiap usaha pasti ada cabaran dan halangan, tetapi tidak sepatutnya perkara tersebut mematikan semangat mahasiswa untuk membebaskan Palestin.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah mengukuhkan asas pengetahuan tentang sejarah Palestin dan penjajahan Israel, menyalurkan sumbangan kewangan kepada tabung prihatin Palestin di universiti dan menjadi sukarelawan untuk sebarang aktiviti menyokong perjuangan dan pembebasan Semenanjung Gaza.

Usaha-usaha ini amat penting sebagai satu tanda sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin terutamanya rakan-rakan mahasiswa yang berasal dari negara itu yang menuntut di universiti awam dan swasta di Malaysia.

Semoga dengan usaha ini, gerakan mahasiswa juga akan dapat meneguhkan jati diri dan menanam semangat cinta kepada tanah air sekali gus berupaya mempertahankan Malaysia daripada serangan anasir luar pada masa hadapan. – UTUSAN

DR. SARIFAH NURHANUM SYED SAHURI
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya