Koperasi boleh atasi isu keselamatan makanan

Koperasi boleh atasi isu keselamatan makanan

KOPERASI dapat membantu memastikan keselamatan makanan di sesebuah negara terjamin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN Madani perlu satu ramuan yang dapat memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat agar pelbagai perancangan digubal dapat berjalan lancar. Lebih-lebih lagi hal berkenaan ekonomi.

Salah satu cara yang dilihat dapat membantu kerajaan adalah melalui gerakan koperasi. Ini kerana koperasi merupakan entiti perniagaan berlandaskan kerjasama.

Jika menelusuri sejarah awal kewujudannya, koperasi mula digerakkan oleh sekumpulan masyarakat yang ditindas dan dieksploitasi oleh golongan kapitalis.

Kehidupan pada masa itu dalam kebobrokan kerana bayaran upah murah, waktu bekerja panjang, keadaan atau kemudahan tempat kerja yang teruk serta kebajikan pekerja diabaikan. Pemunya perniagaan hanya mementingkan keuntungan semata-semata.

Ketika ini, keadaan tersebut telah diperbaiki. Keluwesan atau kefleksibelan idea koperasi terhadap suasana masyarakat adalah relevan. Koperasi adalah unik kerana mengagihkan keuntungan secara adil kepada ahli sama ada berbentuk kewangan dan juga bukan kewangan. Kerugian perniagaan yang koperasi ceburi turut akan dirasai bersama.

Jepun misalnya, koperasi pertanian negara tersebut terlibat di peringkat pengeluar, penyimpanan, pemasaran, pemborongan, peruncitan hingga kepada pengguna.

Malah pengguna itu adalah ahli sendiri. Implikasi daripada cara ini dapat memberi kebaikan dari segi penetapan harga yang mampu milik dan penawaran kualiti barang terbaik. Dengan erti kata lain, keselamatan makanan komuniti tersebut terjamin.

Penglibatan koperasi ini di semua peringkat dalam rantaian pembekalan makanan pula membolehkannya mencipta pekerjaan. Bukan hanya untuk ahli koperasi malah memberi peluang kepada masyarakat.

Sebenarnya banyak lagi keperkasaan koperasi boleh diperkatakan, namun contoh di atas menunjukkan koperasi sebagai alternatif terbaik dalam memberi kemudahan, keselamatan dan kesejahteraan kepada setiap lapisan masyarakat dalam sesebuah negara.

Kerajaan boleh mengambil intip pati hasil perpaduan dalam koperasi untuk mengemaskini struktur ekonomi Malaysia agar berlaku keadilan dalam pengagihan kekayaan yang diperoleh.

Perpaduan adalah persefahaman yang menunjangi gerakan koperasi perlu ditanam dan disemai oleh kerajaan dalam masyarakat. Perkara ini perlu diberi perhatian kerana koperasi adalah salah satu kaedah mengukuhkan perpaduan untuk mencapai kesejahteraan seperti terkandung dalam gagasan Malaysia Madani.-UTUSAN

HASRIN ABU HASSAN
Kampung Pondoi
Tampin, N.Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya