SAUDARA PENGARANG,
KETERJAMINAN makanan merupakan satu kebimbangan di peringkat nasional dan global.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu, antara 691 dan 783 juta orang di seluruh dunia mengalami kelaparan dan majoritinya merupakan penduduk Asia. 425 juta orang di Asia pula dianggarkan mengalami kekurangan zat makanan.
Meskipun Malaysia merupakan antara pengeluar minyak sawit dan beras tertinggi di Asia, kita masih menunjukkan arah aliran tidak stabil dalam keterjaminan makanan.
Berdasarkan Indeks Makanan Keterjaminan Global (GSFI) pada 2022, kita menduduki tempat ke-41 daripada 113 negara, iaitu penurunan sebanyak tujuh tangga berbanding kedudukan tahun sebelumnya.
Untuk menangani isu keterjaminan makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperkenalkan dua dasar, iaitu Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030. Ia menekankan tiga aspek penting yang boleh meningkatkan keterjaminan makanan yakni mengurangkan tahap import dan eksport makanan, meningkatkan pertanian domestik serta meningkatkan pengeluaran komoditi.
Walaupun melaksanakan dua dasar yang komprehensif, Malaysia masih mengalami penurunan dalam penarafan GSFI.
Justeru, terdapat tiga aspek penting untuk menambah baik GSFI dan mengurangkan isu keterjaminan makanan iaitu mengurangkan import makanan pada produk terpilih, mengurangkan eksport makanan dan tumpuan kepada sistem bandar dan teknologi tinggi untuk meningkatkan produktiviti makanan.
Negara mempunyai inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran agromakanan menggunakan teknologi tinggi dengan peruntukkan geran sebanyak RM200 juta melalui Agrobank bagi membantu menyediakan kemudahan pembiayaan khususnya aplikasi teknologi moden pertanian.
Selain itu, baru-baru ini, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menganjurkan Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) 2023 menawarkan sokongan diperlukan dan ini merupakan salah satu platform bagi menarik modal untuk menjana penyelesaian yang inovatif dan mampan.
Sebagai tambahan kepada tiga aspek utama, adalah penting untuk menarik pakar yang komited mengenai sektor pertanian.
Tanpa pakar, pelaburan untuk setiap sektor akan gagal sama seperti pelaburan lain.
Oleh itu, kerajaan perlu memberi inspirasi dan menarik minat generasi muda supaya mereka bekerja bersama dan mengenali potensi sektor pertanian. Apabila lebih ramai petani mendapat keuntungan daripada operasi pertanian, mereka akan meningkatkan produktiviti pertanian dan seterusnya menangani masalah keterjaminan makanan.-UTUSAN
DR. ADILAH A. WAHAB
Universiti Malaya