SAUDARA PENGARANG,
RAJA Hawaii yang digelar King Kamehameha berjaya menyatukan kepulauan Hawaii pada 1810. Ketika itu juga tertubuhlah sebuah kerajaan yang dipanggil sebagai Kingdom of Hawaii.
Ia adalah kerajaan berdaulat yang mengguna pakai sistem raja berperlembagaan. Kerajaan itu bertahan sehingga 1893, iaitu selama 83 tahun.
Kingdom of Hawaii mempunyai tanah yang subur hasil daripada pembentukan gunung berapi. Pada ketika itu, ramai peneroka dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah datang beramai-ramai lalu membuka ladang-ladang, terutama tanaman tebu untuk menghasilkan gula.
Lama-kelamaan, peneroka-peneroka ini kaya-raya dan mula berminat dengan politik tempatan. Maka tertubuhlah sebuah parti politik dipanggil Reform Party ataupun Parti Reformasi pada 1840 dengan agenda tersembunyi untuk ‘meng-Amerikakan’ kerajaan Hawaii.
Selepas hampir 50 tahun, Parti Reformasi yang dianggotai peneroka dan saudagar kulit putih ini semakin kuat. Pada 1887, mereka berjaya memaksa raja yang memerintah Kingdom of Hawaii masa itu, King David Kalakaua untuk menandatangani perlembagaan baharu.
Perlembagaan baharu ini antaranya membatalkan hak istimewa anak watan, iaitu hak milikan tanah dan mengehadkan kuasa raja serta memberi beberapa kelebihan kepada peneroka asing untuk membuat sebanyak mungkin kekayaan.
Bertolak dari situ, gerakan untuk ‘meng-Amerikakan’ Hawaii dipertingkatkan. Akhirnya sewaktu pemerintahan Queen Lili‘uokalani, iaitu adik kepada King David Kalakaua, satu gerakan bersenjata oleh sekumpulan saudagar kulit putih dibantu militia tempatan dan tentera marin AS berjaya menggulingkan Queen Lili‘uokalani pada 1893.
Hari ini Hawaii amat popular dengan bandar Honolulu yang moden dan pesat, tetapi di mana anak watan Hawaii? Anak watan Hawaii adalah kumpulan etnik yang miskin di tanah air sendiri.
Anak watan Hawaii tidak mampu tinggal di bandar-bandar kerana nilai hartanahnya yang mahal. Di Tanah Melayu ini pun ada ‘peneroka’ yang sudah kaya-raya yang mempunyai parti politik dicurigai agendanya.
Malah, Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak istimewa pada anak watan tidak disenangi selain ada parti lain pula yang memperjuangkan untuk ‘memulihkan’ Perlembagaan Persekutuan.
Orang Melayu jika tidak hati-hati, mungkin boleh menerima nasib seperti anak watan Hawaii. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air