Peringatan gejala buruk LGBT perlu diajar di sekolah - Utusan Malaysia

Peringatan gejala buruk LGBT perlu diajar di sekolah

PERLAKUAN golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah satu kesalahan kerana bertentangan dengan undang-undang syariah dan sivil di Malaysia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Malaysia sekali lagi digemparkan dengan isu seorang vokalis sebuah kumpulan pop rock dari Britain, The 1975 melakukan aksi tidak senonoh di khalayak ramai dan memberikan ucapan berkaitan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam satu festival nyanyian di Sepang, Selangor.

Seperti kita sedia maklum, Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan amat menitikberatkan budaya ketimuran.

Oleh itu, langkah kerajaan membatalkan konsert itu dengan serta-merta adalah selaras dengan hakikat tindakan vokalis terbabit yang bercanggah dengan nilai dan norma diamalkan oleh masyarakat di Malaysia.

Tambahan lagi, perlakuan LGBT adalah satu kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang syariah dan sivil di negara ini.

Penularan pengaruh tidak sihat ini ke dalam kehidupan masyarakat sememangnya amat membimbangkan.

Sekiranya gejala ini tidak dibendung, ia akan menjadi barah yang membawa kepada kehancuran individu dan komuniti keseluruhannya. Oleh itu, pelbagai pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama bagi membanteras gejala ini.

Langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membangunkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019-2025 bagi menangani gejala sosial dalam kalangan masyarakat termasuk LGBT adalah satu inisiatif yang amat baik.

Namun, agensi-agensi lain juga seharusnya berganding bahu dan bekerjasama bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya gejala LGBT.

Di samping itu, topik atau silibus berkaitan masalah sosial seperti isu LGBT adalah amat baik untuk diajar kepada pelajar di peringkat lebih awal supaya mereka ambil cakna dan mempunyai daya literasi tinggi berhubung perkara-perkara yang melanggar norma dan juga moral.

Diharapkan masalah berkaitan perilaku LGBT dapat dibanteras bagi memastikan lebih ramai rakyat mengamalkan gaya hidup sihat sejajar dengan sifat semula jadi kita sebagai seorang manusia. – UTUSAN

DR. NAZRA ALIFF NAZRI dan DR. FAIZ MASNAN, Universiti Malaysia Perlis (Unimap)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya