SAUDARA PENGARANG,
ISU senior-junior di tempat kerja seakanakan tidak ada penghujungnya, malah terus dibincangkan oleh warganet secara terbuka di media sosial.
Kebiasaannya generasi muda pada masa kini gemar untuk membuat hantaran di media sosial tanpa segan silu atau lebih tepatnya mengadu di alam maya. Kebanyakannya bukan sesuatu yang mendatangkan positif.
Contohnya, memuat naik hantaran ‘sentap’ ditegur oleh senior selepas mengambil masa agak lama untuk menyiapkan tugasan dan ada juga menghantar hasil kerja kurang memuaskan.
Disebabkan isu-isu tersebut, generasi yang dikatakan lebih banyak makan garam mentafsir generasi lebih muda ini sebagai manja, cepat sentap, tidak boleh diharap selain mudah cepat melenting.
Sebilangan warganet berpendapat generasi muda kurang beretika ketika bersosial. Malah ada berpendapat generasi ini tidak sekental orang lama dalam menghadapi alam bekerja.
Oleh demikian, generasi yang lebih banyak makan garam seharusnya memberikan tunjuk ajar sepatutnya kepada generasi masa kini supaya mereka dapat mengambil contoh teladan yang baik dalam mempraktikkan kehidupan seharian.
Malah cara ini juga dapat membantu pekerja baharu memahami tugas mereka agar segala skop pekerjaan dapat dijalankan dengan baik.
Pada masa sama, generasi yang lebih muda haruslah memainkan peranan mereka dalam membentuk jati diri yang kukuh serta beretika dalam apa jua keadaan dihadapi.-UTUSAN
AISYAH MUNIRAH AZMI
Universiti Sains Islam Malysia