Jadual peperiksaan keluar lambat, pelajar beli tiket mahal - Utusan Malaysia

Jadual peperiksaan keluar lambat, pelajar beli tiket mahal

MAS, AirAsia batalkan penerbangan ke Sabah dan Sarawak ekoran letusan Gunung Ruang di Utara Sulawesi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENJELANG sesi peperiksaan akhir semester, pelajar universiti sudah pasti tidak sabar untuk menikmati cuti panjang apalagi untuk mahasiswa dari Sabah dan Sarawak yang hanya pulang ke kampung halaman enam bulan sekali.

Namun, kegembiraan itu hanya seketika bilamana melihat harga tiket penerbangan pulang ke kampung halaman yang mencekik darah. Sebagai salah seorang mahasiswa berasal dari Sarawak, saya ingin menyuarakan pendapat tentang masalah ini.

Pihak kerajaan dan syarikat penerbangan sering kali dituding jari oleh masyarakat apabila masalah ini timbul. Namun pada pendapat kami, pihak universiti juga perlu memainkan peranan penting dalam isu ini.

Hal ini kerana jadual peperiksaan akhir semester sangat lambat dikeluarkan oleh pihak universiti. Perkara ini sebenarnya memberi kesan kepada mahasiswa Sabah dan Sarawak untuk pulang sempena cuti semester kerana terpaksa membeli tiket dengan harga yang tinggi.

Untuk sesetengah pihak yang kurang mengetahui tentang kaedah pembelian tiket penerbangan, semakin lewat pembelian tiket dari tarikh atau hari penerbangan, semakin tinggi harga tiket penerbangan tersebut.

Oleh demikian, jika pihak universiti mengeluarkan jadual peperiksaan tiga atau dua bulan lebih awal, maka kami juga dapat membeli tiket penerbangan lebih awal dengan harga lebih rendah.

Perkara ini sangat membantu mahasiswa dalam mengurangkan kos perbelanjaan jika pihak universiti turut memberi pertimbangan tentang masalah ini.

Isu ini telah kami suarakan kepada pihak pengurusan universiti melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), namun sehingga hari ini masih tiada perubahan. Sebaliknya kami terus terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk membeli tiket pulang ke kampung.

Mahasiswa Sabah dan Sarawak meletakkan harapan tinggi kepada pihak universiti dalam membantu kami menyelesaikan masalah ini agar tidak terlalu membebani kewangan keluarga. – UTUSAN

NOR FADHILAH KUIN, Daro, Sarawak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN