Perkasa pencegahan maksiat bagi melestarikan akhlak - Utusan Malaysia

Perkasa pencegahan maksiat bagi melestarikan akhlak

BANYAK bukti yang dapat diperhatikan bahawa faktor kerosakan moral kanak-kanak dan remaja berpunca dari persekitaran yang buruk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

FAKTOR paling utama dalam memelihara dan melestarikan akhlak mulia adalah persekitaran yang baik.

Persekitaran memberikan impak yang besar dalam penumbuhan akhlak kanak-kanak yang mana akan diteladani oleh mereka sehingga dewasa.

Banyak bukti yang dapat diperhatikan bahawa faktor kerosakan moral kanak-kanak dan remaja berpunca dari persekitaran yang buruk.

Contohnya keluarga yang terdiri daripada ibu atau bapa yang menagih dadah atau kaki botol, kawasan kejiranan yang mengamalkan kehidupan tidak bermoral, sahabat yang mengajak ke arah kemungkaran dan lain-lain lagi.

Oleh itu, pembinaan masyarakat yang sejahtera adalah penting dalam mewujudkan persekitaran yang dapat melestarikan akhlak yang mulia.

Pembinaan masyarakat pula bermula daripada individu yang menjadi anggota di dalam masyarakat. Setiap individu harus mempunyai daya tanggungjawab dalam membina masyarakat yang bertamadun.

Justeru, menjadi tanggungjawab pihak berautoriti menggunakan kuasa yang telah diamanahkan untuk mencegah kemungkaran dengan perundangan dan dasar yang menghalang perlakuan maksiat.

Bagi kalangan masyarakat awam pula, mereka boleh menasihati golongan yang tersalah arah jalan.

Meskipun, sekiranya individu tidak mampu untuk memberi nasihat dan peringatan bagi mencegah kelakuan maksiat maka wajib baginya untuk membenci dan mendoakan agar pelaku maksiat diberi kesedaran dan keinsafan dari kelakuannya itu.

Oleh yang demikian, para ulama fikah menyatakan bahawa hukum terhadap usaha mencegah maksiat adalah fardhu kifayah bagi masyarakat umum.

Ia penting agar masyarakat dibina atas dasar ketaatan dan menjamin kesejahteraan serta kelestarian akhlak terpuji pada generasi masa hadapan. – UTUSAN

AZHAR ISMAIL, Jabatan Agama Islam Negeri Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN