Model pembangunan Pulau Pinang lapuk - Utusan Malaysia

Model pembangunan Pulau Pinang lapuk

PROJEK transit aliran ringan (LRT) akan merosakkan struktur bandar di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan Kerajaan Persekutuan secara prinsip mengambil alih pelaksanaan projek transit aliran ringan (LRT) daripada kerajaan Pulau Pinang bagi membolehkan projek itu dimulakan segera.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan akan membiayai projek berkenaan, namun modul dan mekanisme berkaitan pembiayaan perlu dibincang dan diperincikan terlebih dahulu sebelum projek itu dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, jelasnya, kerajaan Pusat hanya membiayai projek LRT dan ia tidak melibatkan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) atau kini lebih dikenali dengan nama Penang South Island (PSI).

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk mengkaji semula projek mega PSR yang mendapat banyak kritikan daripada pertubuhan masyarakat sivil.

Mesej oleh Perdana Menteri itu menunjukkan projek mega PSR tersebut cacat dalam perancangan dan reka bentuknya serta menimbulkan persoalan serius mengenai kecekapan kerajaan negeri untuk merangka program pembangunan lebih berkesan bagi penduduknya.

Dalam surat dihantar kepada Perdana Menteri sebelum ini, CAP menyatakan sebab kenapa projek PSR tidak diperlukan.

Pada mulanya, kerajaan negeri mewajarkan projek penambakan mega itu sebagai amat diperlukan untuk mengumpul dana daripada penjualan tanah tebus guna bagi melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan kini bersetuju untuk menyediakan. Jadi, kenapa perlu meneruskan penambakan ini?

Berdepan dengan kritikan kuat, kerajaan negeri mengemukakan hujah bahawa Pulau Pinang memerlukan lebih banyak tanah untuk pembangunan dan mewujudkan pekerjaan.

Bagaimanapun, dakwaan ini tidak berasas dan bercanggah dengan realiti di lapangan. Di seberang Jambatan Kedua di Batu Kawan, lebih 1,214 hektar tanah murah tersedia bagi pertumbuhan ekonomi.

Ia mempunyai semua kemudahan dan sangat dekat serta bersambung ke Pelabuhan Butterworth dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

Melabur di sana akan menyumbang kepada merapatkan lagi pembangunan ekonomi dan sosial yang tidak sekata antara tanah besar dan pulau. Selain itu, beberapa kawasan perindustrian kurang digunakan.

Oleh sebab itu, apa rasionalnya cadangan penambakan tanah? Episod ini jelas menunjukkan model pembangunan kerajaan negeri sudah lapuk.

LRT dicadangkan adalah satu lagi contoh inisiatif pembangunan yang tidak mampan. Daripada menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, LRT akan merosakkan struktur bandar dan mewujudkan masalah baharu yang lebih kompleks bagi rakyat negeri itu.

Kami menggesa Kementerian Pengangkutan melantik pakar lalu lintas yang boleh dipercayai untuk mengkaji pelan asal dan mengubah suai dengan mengambil kira perkembangan terkini dalam teknologi pengangkutan dan penyelesaian bandar.

Akhir sekali, kami menggesa kerajaan Pulau Pinang mengadakan satu persidangan bagi menilai semula model pembangunannya secara kritis dan membentuk agenda pembangunan baharu yang lebih bermakna. – UTUSAN

MOHIDEEN ABDUL KADER, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya