Karma kejatuhan dan kenaikan kerajaan - Utusan Malaysia

Karma kejatuhan dan kenaikan kerajaan

ADAKAH ketidakstabilan politik negara kini juga disebabkan karma? – GAMBAR HIASAN/JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGANUT agama Buddha baru-baru ini meraikan Hari Wesak yang memperingati kelahiran pengasas agama itu, Siddharta Gautama.

Dalam agama Buddha, konsep karma adalah antara prinsip asas kepercayaan penganutnya. Ia membawa maksud balasan.

Dalam bahasa mudah, perbuatan (termasuk kata-kata) yang baik dan bermanfaat akan membuahkan balasan baik dan begitu juga sebaliknya.

Setiap insan tidak boleh lari dari karma termasuk ahli politik. Tetapi, adakah karma dapat menjawab punca pergolakan politik yang melanda negara sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lepas?

Baru-baru ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijatuhkan tidak lama lagi apabila beberapa ahli Parlimen menarik sokongan mereka terhadap kerajaan perpaduan.

Apakah ketidakstabilan politik negara kini adalah juga disebabkan karma? Untuk cuba menjawab persoalan ini, kita perlu menyingkap sejarah kejatuhan dan kenaikan kerajaan di luar pilihan raya di Malaysia.

Hakikatnya, dalam sejarah politik negara, usaha menarik sokongan ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pihak lawan untuk menjatuhkan kerajaan bukan perkara baharu.

Pada September 2020, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, Anwar cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi kaedah memancing ahli Parlimen pihak lawan.

Anwar menyatakan beliau memiliki majoriti meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu. Tetapi cita-cita beliau tidak kesampaian.

Pada tahun berikutnya, selepas peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kesembilan, Anwar sekali lagi menyatakan beliau mempunyai bilangan mencukupi.

Keyakinan itu bersandarkan kepada sokongan daripada beberapa ahli Parlimen kluster mahkamah pihak lawan.

Malangnya, mimpi Anwar ketika itu hanya tinggal mimpi sehingga November tahun lepas apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi Parlimen dan beliau dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke10.

Kini Anwar sebagai Perdana Menteri berdepan dengan permasalahan sama. Apakah ini karma? Adakah kini senjata makan tuan? – UTUSAN

CHEW KWANG YEW, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN