Beri pelepasan cukai penuh pada penyumbang PIBG - Utusan Malaysia

Beri pelepasan cukai penuh pada penyumbang PIBG

KINI sedang sibuk diadakan mesyuarat agung tahunan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di seluruh negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SELEPAS tamat bulan Syawal, kini perkara rancak dibincangkan oleh mereka yang mempunyai anak yang bersekolah ialah ketibaan mesyuarat agung tahunan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di seluruh negara.

Antara perbincangan sedang berlaku ialah mengenai sumbangan PIBG. Untuk sekolah rendah mempunyai antara 800 ke 1,000 murid, bagi menjalankan aktiviti wajib tahunan PIBG memerlukan antara RM36,000 hingga RM50,000 satu sesi.

Aktiviti-aktiviti wajib seperti sambutan hari anugerah kecemerlangan, hari sukan dan hari raya yang sentiasa menghiasi kalendar persekolahan setiap tahun. Jika ada aktiviti tambahan, maka bertambahlah kos yang perlu dilunaskan.

Jika di atas kertas, sumbangan PIBG untuk sekolah rendah ialah RM50 bagi setiap keluarga dan kesemua 1,000 pelajar datang dari keluarga berbeza, maka PIBG boleh dapat RM50,000.

Namun, hakikatnya di sepanjang perkhidmatan saya, peratusannya selalu tersangkut, hanya 60 peratus kecuali di sekolah berasrama penuh (SBP) di mana peratusan pembayarannya tinggi.

Dalam pada itu, perkataan sumbangan PIBG selalu disalahertikan oleh ibu bapa sebagai yuran PIBG. Untuk makluman, tidak wujud perkataan yuran PIBG di dalam perlembagaan PIBG.

Ibu bapa perlu faham mana satu sumbangan dan mana satu bayaran aktiviti dan perkhidmatan. Sumbangan PIBG untuk sekolah rendah selalunya RM50 yang mewakili satu keluarga setahun.

Untuk SBP selalunya RM100 hingga RM150 sekeluarga. Jadi, apa pula pembayaran yang kadang-kadang mencecah sehingga ratusan ke ribuan ringgit?

Yang kena bayar mahal itu bergantung kepada SBP atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) itu ialah pembayaran untuk perkhidmatan seperti kokurikulum, mesin pemanas dan penyejuk air, majalah, dobi, internet dan lain-lain.

Yang ini bukan sumbangan PIBG. Ibu bapa perlu faham bahawa anak anak kita akan menikmati kesemua perkhidmatan tersebut maka perlulah disegerakan pembayarannya.

Namun, PIBG tidak pernah zalim dengan bersikap diktator. Ada PIBG yang mempunyai tabungan khas untuk membayar bayaran tersebut khusus bagi keluarga bermasalah kewangan.

Yang penting, jangan malu untuk tulis surat kepada PIBG. Mereka akan bermesyuarat. Jika diluluskan maka amaun tersebut akan dibayar melalui tabung tersebut.

Selain itu, PIBG juga menawarkan skim bayaran ansuran untuk pembayaran perkhidmatan tersebut. Tambahan lagi, ada juga ahli jawatankuasa PIBG yang dilapangkan rezeki nak bayarkan untuk keluarga yang bermasalah kewangan.

Selain itu, PIBG juga membuka peluang untuk ibu bapa lain melaksanakan subsidi bersilang kepada keluarga susah. Dengan kata lain, PIBG akan mempelawa ibu bapa yang mempunyai kelapangan kewangan untuk melunaskan pembayaran bagi anak-anak yang datang dari keluarga kurang berkemampuan.

Kesimpulannya, ada banyak alternatif dalam melunaskan pembayaran tersebut. Nasihat saya kepada semua PIBG, jangan sesekali melupuskan pembayaran bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Ini akan menyebabkan kantung kewangan PIBG menjadi kurang berdaya saing dan bukanlah satu pengurusan kewangan yang baik.

Akhir sekali, bukan senang mencari dana untuk aktiviti PIBG. Ini kerana tiada insentif diberikan kepada penderma.

Oleh itu, saya menyeru kepada pihak kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri supaya diberikan pelepasan cukai penuh kepada individu atau syarikat yang menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG. – UTUSAN

MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH, Bekas yang dipertua PIBG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.