Jadilah orang beruntung di bulan puasa - Utusan Malaysia

Jadilah orang beruntung di bulan puasa

ANTARA amalan yang disunatkan ketika berpuasa adalah memperbanyak bacaan al-Quran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMADAN adalah amat istimewa kerana memiliki pelbagai kelebihan berbanding bulan-bulan lain. Antara amalan yang disunatkan ketika berpuasa adalah memperbanyak bacaan al-Quran, menunaikan solat sunat tarawih dan qiamullail pada waktu malam.

Pada masa sama, antara cabaran utama ketika berpuasa adalah menguruskan masa dengan sebaiknya bagi melaksanakan semua ibadat terbabit.

Dalam suasana kehidupan penuh mencabar lebih-lebih lagi terkesan dengan kemelesetan ekonomi global, faktor-faktor persekitaran yang menghimpit seperti peningkatan kos sara hidup, kenaikan harga barangan mentah, yuran persekolahan dan pengajian anak-anak dan sebagainya menuntut setiap individu untuk bekerja bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Tambahan pula, sumber pendapatan yang berada di bawah kadar minimum turut mendesak individu untuk mencari sumber alternatif lain.

Realitinya, ramai dalam kalangan masyarakat kini terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi memperoleh rezeki tambahan.

Malah jumlah perbelanjaan seisi rumah menjadi lebih meningkat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang secara lazimnya diraikan dengan penuh kemeriahan.

Bagaimanapun, setiap umat Islam mestilah bijak mengimbangi antara tuntutan bersifat material ini dengan melihat keperluan dari aspek kerohanian khususnya ketika berada di bulan Ramadan.

Hal demikian ini kerana secara hakikatnya pelaksanaan ibadah puasa bukanlah semata-mata menghalang individu daripada makan dan minum sahaja.

Namun, ia sebenarnya membuka ruang yang amat luas kepada setiap individu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan beramal ibadah kepada-Nya.

Lebih mendukacitakan apabila kemuliaan Ramadan dicemari dengan perkara-perkara berunsur maksiat dan kemungkaran seperti mengabaikan kewajipan solat secara sengaja.

Ada individu yang menayangkan aurat secara terbuka, terlibat pergaulan bebas, menipu ketika berniaga, mendedahkan aib di depan khalayak, mengadu domba di media sosial dan seumpamanya.

Sehubungan itu, setiap umat Islam mestilah menetapkan cita-cita untuk menjadi orang yang beruntung di sisi Allah SWT terutama dengan membuat pelaburan bijak apabila berada di bulan Ramadan dengan melakukan segala ibadah yang disyorkan. – UTUSAN

MUHAMMAD AMMAR HARITH IDRIS, Pegawai Penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN